NUFFNANG ADS

Monday, April 28, 2014

Ana Raffali artis mi segera ?

NAMA Ana Raffali seolah-olah tenggelam walaupun penyanyi yang bakatnya dicungkil melalui laman sosial Youtube ini pernah merangkul anugerah Artis Baru Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) pada 2010 dan juara Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL) pada 2011.

Jika sesetengah artis lain gelisah tanpa liputan media untuk menaikkan nama dan populariti mereka, namun tidak bagi artis yang berusia 29 tahun ini.

Menganggap jarang muncul di media massa sebagai suatu hikmah, Ana Raffali atau nama penuhnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali bersyukur kerana sokongan peminat masih kuat, terutamanya selepas kemenangannya dalam AJL.

“Alhamdulillah, kejayaan di AJL memberi saya peluang untuk mendekati masyarakat ketika membuat persembahan di seluruh negara.

Saya bersyukur peminat sentiasa menyokong kerjaya saya walaupun jarang sekali disebut-sebut di media massa.

“Saya melihatnya sebagai nikmat apabila tiada kontroversi yang melibatkan diri. Apa-apa pun, saya bukan hanya seorang penyanyi, saya punya banyak matlamat dan sedang berusaha untuk mengembangkan lagi potensi diri dan menyumbang kepada bidang lain,” katanya.

Seperti yang sedia maklum, bakat nyanyian Ana ditemui oleh komposer terkenal Aidit Alfian yang menonton rakaman nyanyiannya di Youtube dan tertarik untuk mengambilnya sebagai penyanyi pertama di bawah syarikat rakaman Aidit Alfian Records.

Dengan fenomena ‘artis Youtube’ yang diibaratkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan, ramai orang melabelkan penyanyi yang lahir dari medium itu sebagai artis mi segera.

Tampil menjawab kenyataan itu, Ana menyifatkan label itu sebagai berat sebelah kerana menganggap seolah-olah kesungguhan artis Youtube dinafikan dalam mencapai kejayaan dalam bidang muzik.

“Label itu tidak adil. Seolah-olah mengabaikan usaha yang telah mereka berikan dalam menampilkan bakat masing-masing. “Saya percaya ramai antara kita punya potensi yang besar untuk memajukan industri. Yang paling penting adalah usaha berterusan dari setiap individu,” katanya.

Apabila diajukan soalan mengenai akaun Youtubenya, Ana tidak menafikan ada mempunyai rancangan untuk kembali memuat naik rakaman baru di laman tersebut.

“Saya bermula dari situ. Mungkin sekadar suka-suka atau melepaskan rindu, saya akan usahakan,” jelasnya yang meminati biduanita tersohor Datuk Siti Nurhaliza dan komposer hebat Datuk M. Nasir.

Kemenangan besar dalam AJL menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku yang digubah dan ditulisnya sendiri membuktikan bakat seni Ana Rafalli bukan sahaja dalam bidang muzik dan nyanyian, malah penulisan.

Sudah tentu peminat artis jelita yang sudah berhijab selepas mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Ahmad Aznaim Abdullah, ini ternanti-nanti akan buah tangan baharunya setelah agak lama sepi tanpa khabar berita.

Apa yang menarik, buah tangan terbaharu yang ditampilkan Ana kali ini bukan dalam bentuk lagu tetapi buku.

Bertajuk #24Minggu, buku yang ditulis sepenuhnya oleh Ana Raffali itu merupakan sebuah novel puisi yang diterbitkan oleh Sang Freud Press.

Uniknya, #24Minggu menceritakan perjalanan seorang gadis dalam mengenal cinta dan mencari pelengkap hidupnya, dalam masa yang sama gadis ini percaya dia telah disumpah untuk merasa  bahagia bersama satu cinta tidak lebih dari 24 minggu.

Menurut Ana, untuk mengetahui jalan cerita buku ini, pembaca boleh membacanya dari muka surat pertama hingga akhir atau memilih secara rawak kerana setiap puisi membawa makna dan boleh berdiri dengan sendiri.

“Saya memilih untuk membentangkan kisah ini menggunakan puisi seperti sajak, pantun dan sebagainya berbanding prosa biasa.

“#24Minggu menjelajah segenap perasaan yang mungkin pernah atau belum lagi dirasai bagi seseorang yang sedang dilamun cinta,” katanya.

Walaupun umum mengenali Ana sebagai penyanyi, pelantun lagu popular Kalau Berpacaran ini menjelaskan dia memang suka mengarang cerita sendiri sejak zaman sekolah, malah minat mencipta lagu juga mendorong cita-citanya untuk menjadi seorang penulis.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2