ANTARA aksi Shila dalam I Am A Singer ketika menyampaikan lagu Mandarin
Menduduki tangga pertama dalam minggu ke-10 program realiti I Am A Singer di China, kedudukan penyanyi terkenal Malaysia, Shila Amzah tiba-tiba merudum ke tangga keenam pada minggu berikutnya.
Difahamkan, penyanyi berusia 24 tahun yang semakin popular di China itu diboikot pengikut program realiti popular berkenaan berikutan ketidakpuasan hati rakyat China terhadap cara pihak berkuasa negara ini mengendalikan misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Memang mengejutkan kerana persembahan Shila dengan lagu Rolling In The Deep pada minggu ke-10 program terbitan Hunan TV dua minggu lalu itu bukan saja mendapat pujian tetapi memperoleh undian tertinggi daripada penonton termasuk juri, sekali gus meletakkan dia di kedudukan pertama.
Namun pada minggu ke-11 yang juga pusingan separuh akhir, Shila yang membawakan lagu Yang Chong tersingkir ke kedudukan keenam.
Ibu Shila, Fauziah Sarman ketika dihubungi berkata, Shila sendiri menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Kami tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung perubahan kedudukan yang sangat drastik itu disebabkan ada kaitan dengan isu MH370.
“Shila bersikap terbuka dengan keputusan itu. Baginya, perkara ini biasa apatah lagi sudah sampai ke peringkat separuh akhir, strategi undian penonton juga berubah kerana masing-masing mahu menyelamatkan peserta tertentu.
“Kalau nak kata Shila diboikot, ketika insiden MH370 hangat diperkatakan di China, Shila tetap dilayan dengan baik dan peminat yang terserempak dengan Shila begitu teruja nak bergambar,” katanya.
No comments:
Post a Comment