IMPIAN Ashraf untuk mendirikan rumahtangga pada usia 30 tahun tercapai apabila 'seru'nya sampai tahun ini.
Aktor dan pengacara Ashraf Muslim telah selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya yang merupakan bakal seorang doktor pada 1 Syawal lalu di hadapan Kaabah di Mekah.
Majlis persandingannya pula berlangsung dengan penuh meriah bertemakan warna ungu di kediaman keluarga pihak perempuan di Gombak pada Sabtu lalu.
Kata Ashraf yang ditemui pada majlis persandingannya itu: "Saya sudah lama mencari wanita untuk menjadi isteri saya kerana saya memang merancang untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun. Tahun ini umur saya 30 tahun kiranya perancangan saya masih mengikut landasan.
"Saya tidak tahu nak cakap sampai seru ke tidak sebab ketika saya menunaikan umrah, nama Dayana yang muncul di fikiran saya. Itu yang membuatkan saya yakin, dia wanita yang tepat untuk saya, tambahan pula dia rapat dengan keluarga saya, bagi saya itu perkara paling penting."
Tegas Ashraf, dia sememangnya mahu mencari wanita yang solehah menjadi suri hatinya dan melihat Dayana cukup sempurna untuk dirinya.
"Memang saya berniat untuk cari wanita solehah sebagai isteri, walaupun tidak seratus peratus sempurna tetapi Dayana masih boleh dibimbing dan kerana itu hubungan kami lebih akrab dan kuat," ucap Ashraf sambil menjeling ke arah isterinya.
Bercerita lanjut mengenai pernikahannya yang berlangsung di Mekah pada 1 Syawal lalu, kata Ashraf, pernikahannya dilakukan pada selepas Asar mengikut waktu di Mekah dan pada pukul 9 malam mengikut waktu Malaysia berlangsung dengan sekali lafaz sahaja.
Bagaimanapun, Ashraf yang berada di sana lima hari selepas majlis pernikahan berlangsung, mengakui gementar tatkala menerima Dayana sebagai isteri.
"Selain ayahnya yang menikahkan kami, pernikahan yang berlangsung di hadapan Kaabah membuatkan saya bertambah gementar tetapi Alhamdulilah semuanya berjalan lancar, hanya dengan sekali lafaz, Dayana menjadi isteri saya.
No comments:
Post a Comment