SELAIN sibuk berlakon Eina juga akan muncul dengan album single pertamanya berjudul Bahagia Bersamanya.
Nur Eina Azman, pelakon remaja ini seakan-akan tidak sepadan dengan usianya. Pada usia 16 tahun, Eina kelihatan seperti pelakon wanita yang matang bukan sahaja daripada segi penampilan diri, tetapi juga tutur katanya.
Status masih di bangku sekolah juga tidak menghalangnya untuk aktif dalam bidang lakonan filem dan drama tempatan. Malah, pada usia yang masih setahun jagung itu, Eina turut mendapat peluang melakonkan pelbagai watak, sama ada dalam drama ataupun filem.
Bagaimanapun, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan USJ4, Subang Jaya, Selangor ini tidak semberono menerima tawaran berlakon yang diberikan kepadanya. Sebaliknya kata Eina, dia akan cuba menjauhi watak-watak atau adegan-adegan panas yang memerlukannya beraksi di atas ranjang.
“Saya masih di bawah umur. Sebab itu, saya tidak akan terima apa juga watak yang memerlukan saya beraksi seksi di atas ranjang. Ia tidak sesuai dengan umur saya sekarang. Saya akan meneliti sesuatu tawaran sebelum menerimanya.
“Keluarga pula sentiasa memantau dan menemani setiapkali saya berada di lokasi penggambaran filem atau drama. Mereka banyak memberi nasihat dalam apa juga watak yang saya lakonkan,” katanya.
Anak saudara penyanyi tahun 1980-an, Juliza Adlizan yang kini sedang mempromosikan filem terbarunya, Sesuatu Yang Tertinggal yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 5 Januari ini juga, semakin matang dalam memilih watak-watak yang sesuai dengannya.
Menurut Eina, filem terbitan Grand Brilliance itu bukanlah yang pertama dilakonkannya, tetapi pada 2009 dia telah membintangi filem Ratu The Movie arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara sekitar Mac yang lalu.
“Sewaktu saya berlakon dalam Ratu The Movie kira-kira dua tahun lalu, umur saya baru 14 tahun. Itu adalah filem pertama lakonan saya. Saya banyak belajar daripada filem itu dan ia banyak membantu mematangkan diri saya. Sekali lagi, keluarga saya banyak membantu saya dalam melalui ranjau dalam bidang ini.
“Apatah lagi, kebanyakan ahli-ahli keluarga saya terbabit dalam bidang nyanyian terutamanya Juliza Adlizan yang banyak memberi dorongan. Malah, sebelum berlakon filem, saya terlebih dulu berlakon drama sewaktu berusia 13 tahun iaitu dalam drama yang berjudul 5 Jingga,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment