NUFFNANG ADS

Tuesday, January 24, 2012

Siti belum terima tawaran 'Kekuatan Cinta'



Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza hanya fokus kepada kerjaya sebagai seorang penyanyi.

Bukan tidak pernah didatangi tawaran lumayan yang mahukan dirinya beraksi di layar perak tetapi Siti Nurhaliza tetap dengan pendirian.

Bagi penyanyi yang mesra disapa Siti itu, dia mengakui bidang lakonan bukanlah kekuatannya. Malah, Siti cukup sedar untuk menjadi pelakon yang baik memerlukan disiplin dan komitmen yang sangat tinggi.

Justeru, apabila namanya disebut bakal membintangi sebuah filem Indonesia berjudul Kekuatan Cinta, ramai yang mahu menyambut berita itu dengan senang sekali.

Apatah lagi, ia bakal menampilkan beberapa pelakon Indonesia dan Malaysia antaranya Nicholas Saputra, Christine Hakim, Dian Sastrowardoyo, Melissa Saila, Fasha Sandha dan Raja Ema, pastinya ia bakal menjadi sebuah filem hebat.

“Jujurnya, saya hanya mengetahui perihal itu apabila membacanya menerusi talian. Jika dilihat kepada senarai pelakonnya, memang cukup menarik dan bukan calang-calang.

“Tetapi, di pihak saya, kami belum menerima sebarang tawaran apatah lagi perbincangan dengan pihak terbabit berhubung filem ini.

“Barangkali, ia hanyalah niat dan impian pengarah serta penerbit filem itu yang mahukan saya muncul dalam filem mereka,” jelas Siti penuh diplomasi ketika ditemui usai majlis sidang akhbar Konsert Sinar Maulidurrasul 1433 Hijrah Muhammad Al Ameen di Cyberjaya, Khamis lalu.

Menyambung bicara, juara Bintang HMI 1995 itu memberitahu, sebelum dia membuat keputusan untuk membintangi mana-mana filem sekali pun, perkara pokok yang harus diutamakan adalah jalan cerita dan skripnya.

Selain itu juga, kata Siti, dia juga perlu memikirkan tentang masa memandangkan jadual seninya yang sentiasa padat selain daripada komitmen terhadap keluarga.

“Kalau ditanya kepada saya, sebenar-benarnya saya memang belum bersedia dan terbuka hati untuk berlakon filem atas faktor yang telah saya sebutkan tadi.

“Bukan apa. Bimbang kalau tidak memberikan hasil yang memuaskan. Kesannya akan terpalit kepada kita juga. Malah, penerbit dan pengarah juga pasti akan terkena tempiasnya.

“Untuk itu, biarlah masa yang akan menentukan bilakah masanya untuk saya berlakon filem,” kata penyanyi berusia 33 tahun ini sambil mengukir senyuman.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2