NUFFNANG ADS

Thursday, January 12, 2012

Rompak: Wardina serah cincin pusaka nenek dan gelang hantaran perkahwinan

Wardina bersama anak-anaknya.


"Keluarga saya tak putus-putus membaca ayat suci al-Quran agar kami sekeluarga dilindungi oleh ALLAH dan tidak diapa-apakan oleh perompak."

Demikian kata Wardina Safiyyah Fadlullah, pelakon dan model, ketika menceritakan detik-detik cemas sewaktu rumahnya di Bukit Utama 2 dekat sini, dipecah masuk tiga perompak bertopeng, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi ini disedari Wardina apabila tubuhnya digerakkan oleh perompak semasa dia tidur berseorangan kerana demam.

Wardina berkata, suaminya, Ikhwan Johari pula tidur bersama anak lelakinya di bilik lain dan tersedar apabila perompak tersebut turut menggerakkan suaminya.

Menceritakan saat cemas itu lagi, Wardina berkata, kerana terlalu takut, dia cuba melindungi dirinya dengan hanya berselimut.

"Saya cuba elakkan muka saya dilihat dengan berselimut kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas diri saya dan hanya kalimah Allah yang saya mohon bantuan ketika itu.

"Kemudian perompak tersebut meminta barang kemas saya tetapi saya tiada barang kemas kecuali cincin pusaka nenek dan gelang hantaran perkahwinan yang saya serahkan," kata Wardina.

Katanya, kemudian tiga anaknya, suami dan seorang pembantu rumah berkumpul dalam biliknya dengan berselimut sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan harapan hati perompak tersebut dapat dilembutkan.

Dia menambah, sewaktu keluarga tidak henti-henti melafazkan kalimah suci al-Quran, perompak tersebut tidak tenang dan berkali-kali mengarahkan mereka berhenti melafazkannya.

"Pada waktu itu juga, seluruh keluarganya nampak dengan jelas ketiga-tiga perompak tersebut termasuklah anak lelakinya yang meraung menangis dan kini dalam keadaan trauma dengan kejadian tersebut.

"Mujurlah semasa kejadian itu, jiran di belakang rumah saya menyedari sesuatu berlaku dan menghubungi pengawal keselamatan taman supaya menyiasat apa yang berlaku.

"Sebaik sahaja perompak tersebut dengar pengawal keselamatan tiba , barulah ketiga-tiga perompak tersebut beredar," kata Wardina lagi.

Wardina dan Ikhwan mempunyai tiga anak.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2