ARIL memberi penghormatan terakhir dengan menyiram air mawar di pusara Izwan yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin Melaka pada Sabtu lalu.
"BILA lagi kau ni nak pandai lipat baju? Nak tunggu aku mati baru kau nak lipat." Itulah antara tutur kata yang paling diingati oleh Khairul Azam Pilus, 27, atau Aril AF7 kira-kira dua minggu sebelum abangnya, Khairil Izwan Pilus, 33, atau nama pentasnya Izwan Pilus menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 20 Januari 2012.
Petang Jumaat lalu, penyanyi Izwan Pilus disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang akibat jangkitan kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah (Sepsis) yang serius.
Menurut Aril, pada malam sebelum penyanyi berkenaan menghembuskan nafas terakhir, dia melihat keadaan arwah abangnya berada dalam keadaan yang sangat letih dan tercungap-cungap.
"Apabila melihat keadaannya seperti orang yang tidak sihat, saya menyuruhnya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah dipujuk, akhirnya barulah dia bersetuju untuk pergi ke hospital."
Menganggap Izwan hanya demam biasa, keadaan menjadi sebaliknya apabila Izwan diserang sawan dan nazak.
Setelah beberapa jam mendapatkan rawatan, Izwan akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang hari yang sama sewaktu hendak dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).
Antara yang berada di samping Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir adalah ibu bapanya, Normah Abdullah (ibu), Pilus Mohd. Jani (ayah), Aril, Khirul Aida (kakak), Nurul Nabilah (adik bongsu) serta saudara-maranya serta beberapa rakan baik.
Jenazahnya kemudian telah dibawa pulang ke Melaka dan dikebumikan berhampiran kubur arwah datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin, Melaka, pada hari Sabtu (21 Januari 2012).
No comments:
Post a Comment