Keadaan terkini Bob Kuman.
“Saya terkilan dengan sikap syarikat produksi yang enggan mengambil tahu masalah kesihatan saya sehinggakan hutang tertunggak di sebuah hospital swasta pun terpaksa dilangsaikan pihak lain,” kata pelakon dan pelawak, Husin Mohd Rawi, 40, atau lebih dikenali dengan Bob Kuman.
Itu kekesalan diluahkan Bob selepas dia yang juga pelakon drama TV Jangan Pandang Belakang Congkak kini bertarung dengan penyakit bengkak kaki selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama berkenaan di Hulu Langat penghujung 2010.
Akibat insiden terbabit, Bob sesak nafas selepas miang buluh memasuki saluran pernafasan dan hidungnya mengalami pendarahan yang banyak, namun menurutnya, pihak produksi langsung tidak mempedulikan sehingga dia berkejar ke hospital di ibu kota sendirian.
“Selepas keluar hospital saya dikehendaki melunaskan bayaran RM6,500, namun kerana tiada wang saya berhutang seketika sebelum membayarnya sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, selepas beberapa minggu saya membayarnya dan kini masih berhutang lebih RM3,000.
“Apa membuatkan saya kecewa adalah produksi mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai majikan. Biarpun dalam keadaan sakit saya masih berusaha menamatkan lakonan terakhir, namun produksi hanya melepaskan batuk di tangga dan langsung tidak menjenguk saya apa lagi menanggung kos rawatan,” katanya.
Kisah penderitaan di tanggung Bob semalam, didedahkan dalam blog milik personaliti TV3, Mazidul Akmal Sidik sebelum tersebar di beberapa blog hiburan lain.
Bob ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, dekat sini, semalam memberitahu ketika itu dia hanya mempunyai RM76 di dalam akaun Maybank miliknya.
“Bukan saya tiada duit ketika itu, cuma ada masalah teknikal bersama pihak bank menyebabkan akaun saya dibekukan kerana terlalu banyak transaksi dalam masa sehari. Atas keprihatinan Mazidul menyiarkan masalah saya di blog, banyak sumbangan diterima, terima kasih semua,” katanya.
No comments:
Post a Comment