Industri nasyid semakin dilupakan golongan muda yang lebih gemar mengikut aliran muzik semasa.
Justeru, bagi memastikan industri nasyid tidak berkubur begitu sahaja,
Al Meswak Mu’min Sdn Bhd mengambil inisiatif menganjurkan Program
Bintang Nasyid Mu’min (BNM) setiap tahun sejak ia di wujudkan pada 2007.
Menurut Pegawai Eksekutif Operasi, Zaihal Hazri Abdul Halim, tujuan utama penganjuran memberi edutainment iaitu hiburan dan pendidikan kepada peserta terlibat dan juga orang ramai.
“Alhamdulillah, sejak tahun pertama penganjuran, ia mendapat sambutan menggalakkan, bukan sahaja peserta terlibat, bahkan penaja sehingga ke Jabatan Pelajaran sudi memberi kerjasama.
“Jika sebelum ini kita membuka penyertaan kepada pelajar sekolah rendah, kali ini kita buka pula pada pelajar sekolah menengah.
“Insya-Allah, pihak Mu’min terfikir membuat pertandingan secara terbuka di mana semua peringkat boleh menyertainya tahun depan,” katanya yang ditemui selepas selesai Pertandingan Bintang Nasyid Mukmin peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di SACC Mall, Shah Alam, Ahad lalu.
Zaihal berkata, pada pertandingan tahun ini, peserta terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 13 hingga 18 tahun terdiri daripada pelajar sekolah menengah.
“Seperti musim lalu, BNM 2012 akan mengembara ke seluruh pelosok Semenanjung Malaysia bagi memilih dan mencari kumpulan nasyid terbaik yang akan dicungkil dan diketengahkan ke peringkat kebangsaan.
“Program ini turut memberi peluang lebih 150 kumpulan di seluruh negara menyertainya di beberapa lokasi terpilih,” katanya.
Selepas ini, Mu’min akan bergerak ke Green Town Mall, Ipoh pada 7 April, Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (21 April); Giant Alor Setar (5 Mei); C Mart, Perlis (19 Mei) dan KB Mall, Kota Baru (16 Jun).
“Selain itu kita juga turut mengadakan sesi saringan di Mydin Mall Kuala Terengganu (30 Jun) dan East Coast Mall, Kuantan (7 Julai),” katanya yang menjangkakan pertandingan peringkat akhir akan diadakan September ini.
No comments:
Post a Comment