Menampilkan barisan selebriti mewakili dua kumpulan iaitu Angsa Ganas
dan Beruang Comel, pengumuman peserta tersingkir dibuat malam esok.
Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, pihaknya menggunakan kelainan itu bagi menambahkan lagi debaran peserta.
“Setiap ahli dalam kumpulan yang mendapat undian terendah perlu memilih seorang peserta lain untuk disingkirkan.
“Namun, siapa bakal tersingkir hanya akan diumumkan seminggu kemudian kerana kita mahu mereka rasai debaran,” katanya yang ditemui selepas episod kedua Super Spontan di Studio Finas, Hulu Kelang.
Di hujung episod itu, Beruang Comel dianggotai Reza Salleh, Johan, Sathiya, Bell, Shahrul, Yasmin Hani, Cat Farish dan Ropie berjaya mendapat undian 53 peratus mengatasi Angsa Ganas diwakili Rashid Salleh, Zizan, Nana, Suhaimi Yusof, Riezman Khuzaimi, Zahid, Tauke dan Rahim R2 yang mendapat 47 peratus.
Kekalahan Angsa Ganas membuatkan semua ahlinya perlu memilih seorang peserta lain untuk disingkirkan.
Sementara, kejayaan Beruang Comel membolehkan mereka memenangi RM5,000 untuk disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin (Peyakin).
Sebelum itu, di awal rancangan episod minggu lalu, pengacara Adibah Nor mengumumkan Shahrul (Shiro) dari Beruang Comel mendapat undian terbanyak untuk disingkirkan ahli kumpulannya.
Bagaimanapun, Shahrul bernasib baik kerana produksi tidak melakukan penyingkiran.
Mengulas hal itu, Bob berkata, mereka mahu memberi peluang kepada peserta menyesuaikan diri.
“Dua minggu pertama ini kita anggap sebagai permainan ‘pemanas badan’ kerana ada peserta pertama kali menyertai rancangan itu.
“Saya harap tiadanya penyingkiran memberi ruang semua peserta memantapkan persembahan,” katanya.
Pada penghujung musim, hanya seorang peserta dinobatkan juara sekali gus membawa pulang hadiah RM100,000 serta sebuah kereta Toyota Camry 2.0 G.
No comments:
Post a Comment