IFA RAZIAH
SERAMAI 126 artis dan penyampai radio dari stesen radio Suria FM dijadualkan muncul sepanjang tiga hari berlangsung Karnival Ziarah For Peace 2012 buat julung-julung kali di Taiping, Perak.
Selain dipenuhi gerai jualan, karnival yang bermula dari 6 hingga 8 April anjuran syarikat Project Ziarah bersama Majlis Perbandaran Taiping itu yang bakal diadakan di Taman Tasik Taiping menampilkan pelbagai acara menarik seperti bola sepak jalanan, hari bertemu pelanggan, pertandingan memasak, pertandingan mewarna dan cabutan bertuah.
"Satu acara menarik iaitu pertandingan karaoke terbuka pula bakal berlangsung selama tiga hari dari 6 hingga 8 April yang dihoskan oleh Roslan Shah dan Ifa Raziah. Sesiapa yang mahu menyertai pertandingan karaoke tersebut, boleh membuat pendaftaran di tapak lokasi karnival pada hari Jumaat, 6 April ini," ujar pengurus Project Ziarah, Mohd. Zamri Nordin.
Tambahnya, karnival tersebut akan dimeriahkan lagi dengan kemunculan 126 artis dan penyampai radio Suria FM yang akan berkampung selama tiga hari di Taiping, khusus untuk karnival tersebut.
Paling menarik, sebuah konsert yang bakal menggabungkan irama rock dan dangdut iaitu Konsert Rock & Dangdut bakal berlangsung sebagai salah satu acara rasmi karnival tersebut.
"Antara artis yang bakal membuat persembahan untuk Konsert Rock & Dangdut pada hari Sabtu, 7 April ini ialah Bandi Amuk, May, XPDC, Ayu Cendana dan Sheeda, " katanya.
Namun beritahunya, senarai keseluruhan artis yang terbabit sepanjang karnival tersebut akan diumumkan terlebih dahulu pada suatu majlis makan malam pada hari Jumaat, 6 April ini.
Ujarnya lagi: "Majlis pelancaran karnival yang bertemakan Malaysia Destinasi Keamanan dijadualkan akan dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu, 7 April ini.
No comments:
Post a Comment