Pasangan romantis, Azad Jazmin dan Eira Syazira.
Kata orang, apabila si suami terlalu sayangkan isteri, dia yang akan mengalami alahan dan mengidam apabila isteri mengandung. Begitulah yang dialami pasangan romantis, Azad Jazmin, 37, dan Eira Syazira, 28.
Menurut Eira, semenjak disahkan hamil, dia hanya mengalami alahan ketika awal kehamilannya. Namun, semenjak Ramadan lalu, dia tidak lagi mengalami sebarang alahan mahu pun mengidam.
Sebaliknya, Azad yang mengalami alahan teruk iaitu muntah terutamanya pada awal pagi dan turut mengidam makanan seperti laksa.
"Dulu orang tua-tua selalu kata, kalau isteri mengandung, suami pun boleh alami alahan dan mengidam macam-macam. Dulu memang saya tidak percaya tapi bila kami sudah alami sendiri, baru kami tahu.
"Lucunya saya tidak lagi mengalami sebarang alahan, tapi Azad pula yang mengalami alahan teruk sekarang. Sehinggakan, ketika sedang berbual sambil memandu, tiba-tiba sahaja Azad termuntah.
"Malah, pernah sekali, Azad mengidam memakan laksa dan sanggup mencari sehingga jumpa sedangkan sebelum ini dia tidak suka laksa. Manakala nasi kandar yang selama ini jadi makanan kesukaannya tidak lagi digemarinya," jelas Eira sambil ketawa.
Eira berkata, selain alahan dan mengidam, Azad juga berubah sikap menjadi seorang yang lebih lucu dan romantik.
"Bayangkan, boleh dikatakan setiap hari dia akan menyorok dan saya perlu mencari dia. Pernah kami sedang membeli-belah mencari pakaian bayi, tiba-tiba dia hilang. Mula-mula dulu saya cari juga, bila dah lama-lama saya buat tak tahu sahaja.
"Malah Azad juga selalu buat lawak sehinggakan saya ketawa tidak henti-henti. Kadangkala bila kenangkan umurnya, tidak seiring pula dengan karakternya," katanya.
No comments:
Post a Comment