NUFFNANG ADS

Sunday, February 6, 2011

Artis lama dan baru dihargai dengan anugerah Seri Temasek

Pelakon, Aaron Aziz (paling kiri)dan pelakon, pelawak serta penulis skrip, Husin Saaban (paling kanan); diiktiraf dengan Anugerah Harapan Seri Temasek sementara pelawak veteran, Wahid Satay diberikan Anugerah Seri Temasek dalam acara Malam Gala Seri Temasek yang julung-julung kali diadakan.



SINGAPURA:-- SEBELUM ini, beliau pernah menerima anugerah bagi hasil kerjanya dalam bidang lakonan dan berlawak.

Tetapi, semalam, pelakon, pelawak dan penulis skrip, Husin Saaban, menerima Anugerah Harapan Seri Temasek bagi hasil kerjanya dalam bidang penulisan pula.

'Ia sesuatu yang tidak saya jangka. Ini adalah kali pertama hasil kerja saya sebagai penulis skrip diiktiraf dan ia mendorong saya untuk melakukan lebih baik lagi pada masa hadapan,' ujarnya.

Husin merupakan salah seorang daripada tiga penerima Anugerah Harapan Seri Temasek yang diberikan dalam acara Malam Gala Seri Temasek 2011 di Hotel Fairmont semalam.

Selain Husin, pelakon Aaron Aziz dan pelakon-pengarah dari Malaysia, Syamsul Yusof, turut diberikan pengiktirafan itu.

Bagi Aaron pula, beliau menganggap anugerah itu juga sebagai satu tanggungjawab yang besar.

'Saya berharap dengan adanya acara Malam Gala Seri Temasek ini, lebih ramai penaja akan melihat pentingnya acara seperti ini diadakan dan ia dapat diadakan lagi pada tahun-tahun mendatang.

'Semoga acara sebegini juga dapat menjadi pencetus lebih banyak aktiviti kesenian dan semoga industri perfileman Melayu Singapura akan mekar semula,' ujarnya.

Sementara itu, penghibur tersohor, Anita Sarawak, yang menerima Anugerah Legenda Seri Temasek bagi pihak ibunya, Allahyarhamha Siput Sarawak, menyifatkan anugerah yang diberikan bagi mengiktiraf sumbangan arwah ibunya dalam bidang perfileman sebagai amat bermakna.

'Ia merupakan penghormatan yang cukup besar bagi saya menerima anugerah ini bagi pihak Allahyarhamha ibu saya. Saya ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada pihak-pihak yang mengingati dan mengiktiraf sumbangan beliau,' ujarnya.

Sumbangan Anita Sarawak dalam bidang seni juga diiktiraf dengan pemberian Anugerah Pencapaian Seri Temasek.

Kesemuanya, 33 artis baru dan lama, dalam lapan kategori, telah diberikan anugerah.

Antara kategori anugerah yang disampaikan termasuk Anugerah Legenda Seri Temasek, Anugerah Gemilang Seri Temasek, Anugerah Seri Temasek, Anugerah Pencapaian Seri Temasek, Anugerah Harapan Seri Temasek dan Anugerah Tinta Seri Temasek.

Selain acara penyampaian anugerah, acara tersebut turut mengiktiraf sumbangan dan memberi penghormatan kepada seniman agung, Allahyarham P. Ramlee.

Para hadirin dalam acara makan malam dan penyampaian anugerah itu telah dihiburkan oleh persembahan artis-artis seperti Ning Baizura, Fredo, Sarah Aqilah, Didicazli dan Syamsul Yusof.

Acara dihoskan personaliti radio, A.B. Shaik, serta pelakon, penyanyi dan pengarah, Fauziah Ahmad Daud.

Acara di Hotel Fairmont, Raffles City, itu dianjurkan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura dan Hann's Entertainment, serta disokong Perbadanan Filem Nasional (Finas) Malaysia.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2