ROSYAM NOOR serius mahu melahirkan golongan pelakon berbakat yang mampu membawa kebaikan kepada masa depan dunia sinema Melayu.
MALAM Pentas Pilih Kasih musim kedua minggu kelapan pada malam Sabtu lepas kecoh dengan komen hangat yang disifatkan agak melampau daripada pengkritik tetap program itu iaitu Prof. Madya Dr. Abu Hassan yang seakan-akan berada dalam dunianya sendiri.
Abu Hassan dilihat seringkali mengeluarkan komen-komen yang agak keras dan penuh puitis sehingga sukar untuk memahami apa yang cuba disampaikan olehnya seperti: "Kamu seperti tiang lampu yang hanya tahu melakukan tiga reaksi sahaja" atau "Anda seperti bot yang akan karam bila-bila masa sahaja."
Komen pedas daripada Abu Hassan itu dilihat kurang membina dan dikhuatiri akan menjatuhkan lagi semangat para artis Pilih Kasih yang masih mentah dan memerlukan bimbingan.
Paling terbaru, dia dilihat seringkali membandingkan antara peserta Pilih Kasih sebagai contohnya: "Jay, monolog awak ini jika diberikan kepada Raffamie Karama sudah pasti beliau dapat melakukannya dengan lebih baik."
Sebelum ini Abu Hassan juga pernah membandingkan Jay dengan Sofian Bujang, peserta Pilih Kasih dari musim pertama mengenai watak yang dibawakannya sebagai penagih dadah dalam teater pada minggu lalu.
Ini sedikit sebanyak telah menyebabkan Rosyam Nor bangun untuk menegur Abu Hassan pada malam Sabtu lalu atas komennya yang agak tidak diperlukan itu.
Wajah tidak puas hati jelas terpancar di wajah Rosyam Nor semasa menegur beliau menandakan tidak bersetuju sama sekali dengan pendapat Abu Hassan itu.
Namun begitu setelah seketika, isu tersebut berjaya diselesaikan dan persembahan diteruskan pula dengan teater yang menghiburkan dari kesemua peserta Pilih Kasih yang berjudul, Dilema Hantu.
Menurut Rosyam, dia melihat komen Abu Hassan tersebut sebagai pembakar semangat para peserta Pilih Kasih musim kali ini, tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu mereka sering diberikan komen yang terlalu pedas dan bersifat menghentam dan bukan membina, kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan bakat dan semangat mereka akan terpadam begitu sahaja.
No comments:
Post a Comment