DUTA Lux tahun 2000, Amy Mastura memakaikan mahkota kepada Fazura sebagai simbolik pelantikan Fazura sebagai duta terbaru Lux.
“SAYA bimbang tentang visa. Hingga kini, saya masih menunggu,” begitu ungkapan ringkas aktres cantik Fazura. Pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin itu sebenarnya melahirkan kegusarannya tentang pemergiannya ke Mekah menjelang 3 Mac ini.
Dia sebenarnya bakal menjalani penggambaran selama dua minggu untuk dua drama arahan pengarah terkenal, Erma Fatima iaitu Tahajud Cinta dan Pahitnya Madu.
Apa yang ketara, riak risau pada wajahnya itu silih berganti dengan keterujaan pada dirinya yang dalam masa yang sama berkesempatan untuk mengerjakan umrah di sana nanti.
“Saya harap, semuanya berjalan lancar. Janganlah ada apa-apa halangan. Rasa terkilan kerana tidak dapat menunaikan umrah semasa Umie Aida bernikah di Mekah dulu, masih berbekas.”
“Jadi kali ini walaupun saya pergi kerana kerja, saya bersyukur kerana awal tahun saya dimulakan dengan pergi ke Mekah, saya harap ia berjalan lancar,” katanya.
Menganggap tahun 2011 penuh dengan aura positif buat dirinya, Fazura menegaskan bahawa dia akan lebih memilih dan hanya melakonkan watak yang berbeza daripada apa yang pernah dilakonkan sebelum ini.
“Sebab itu saya terima tawaran untuk berlakon dalam dua drama arahan Erma, Tahajud Cinta dan Pahitnya Madu yang masing-masing memaparkan watak yang bakal mencabar dan memberi pengalaman baru buat saya,” ungkapnya.
Di Mekah nanti, kata Fazura dengan mata bersinar-sinar, dia mahu berdoa agar segalanya menjadi terbaik buat dirinya serta keluarga.
Bab jodoh, ungkap Fazura, sudah tentu dia mendoakan agar diberikan jodoh yang terbaik memandangkan umurnya yang semakin meningkat.
“Namun, itu tidak membuatkan saya meletakkan batas masa yang tertentu. Apa yang pasti, bukan dalam masa terdekat ini,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment