NUFFNANG ADS

Wednesday, January 26, 2011

D'Loyd temui peminat Malaysia Mei




JAKARTA: Setelah menyepi selama lebih 10 tahun dari pentas hiburan Malaysia, D' Loyd, kumpulan muzik pop era 70-an akan kembali menemui peminat Malaysia dalam konsert nostalgia di Istana Budaya (IB) Kuala Lumpur, Mei ini.

Kumpulan berusia 43 tahun dan sudah merakam ratusan lagu dalam lebih 50 album itu, akan membuat persembahan selama tiga malam mulai 6 Mei dalam konsert yang diberi nama "Semalam Di Malaysia".

Lagu-lagu popularnya di Malaysia pada tahun 70-an termasuklah "Cinta Hampa", "Oh Tak Mungkin" dan "Keagungan Tuhan".
"Kami akan mempersembahkan kira-kira 20 lagu top kami dalam versi muzik original pada persembahan dua jam itu nanti, khusus untuk para peminat kami di Malaysia," kata Barje Van Houten, ketua kumpulan dan pemain gitar utama D''Loyd pada sidang akhbar di sini hari ini.

Barje, yang kelihatan tegap dan bersemangat, walaupun sudah berusia 61 tahun berkata persembahan tiga malam berturut-turut itu akan menampilkan semua anggota kumpulan asal, kecuali pemain keyboard iaitu Chandra Chasmala, yang menjadi pengganti kepada Buddy setelah pemain keyboard asal itu meninggal dunia lima tahun lalu.

"Kumpulan D''Loyd tetap utuh sejak ditubuhkan pada 1968, kami tak pernah berpecah sehingga sekarang dan kami masih mengadakan persembahan-persembahan di seluruh Indonesia walaupun tidak seaktif dulu kerana faktor usia.

"Saya sendiri berusia 61 tahun dan vokalis kami Sam sudah berusia 65 tahun, namun kami akan tetap bersemangat membuat persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur nanti untuk para peminat kami," katanya.
Anggota lain kumpulan D''Lyod ialah Chairul Daud (pemain drum), Juhanny (pemain flute dan saxophone) dan Aviantara (pemain gitar bass).

Barje masih ingat pada zaman kemuncak kumpulan itu membuat persembahan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1978, mereka membawa pulang satu kotak barang-barang kemas berupa cincin dan kalung yang dilemparkan para peminat ke atas pentas sebagai penghargaan.

Pada konsert Mei nanti, lagu istimewa yang akan dipersembahkan mereka ialah "Semalam Di Malaysia" iaitu sebuah lagu ciptaan Saiful Bahari.

Ketua kumpulan D''Loyd itu menjelaskan bahawa lagu berkenaan pada asalnya berjudul "Semalam Di Malaya" nyanyian S. Effendi, namun mereka telah menukarkan judul itu kepada "Semalam Di Malaysia" ketika merakam semula lagu itu pada 1972.

Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) akan mengiringi persembahan D''Loyd itu nanti dengan Datuk Ahmad Jais sebagai artis jemputan dari Malaysia pada konsert itu.
Kali terakhir D''Lyod membuat persembahan di Malaysia ialah pada tahun 2000.

Barje berkata semasa konsert itu nanti, mereka akan turut mengadakan lelongan barang-barang original kumpulan itu seperti alat muzik, piring hitam dan kostum sebahagian daripada anggota kumpulan itu untuk para peminat di Malaysia.

Piagam penghargaan yang diraih oleh kumpulan itu daripada industri muzik akan juga dipamerkan pada acara berkenaan, namun ia bukan untuk lelongan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2