KEMUNCULAN Datuk Dr. Ahmad Nawab dengan tiupan saksofon barunya menambah tenaga kepada J2011-Legenda Jamal di Istana Budaya.
DIA digelar legenda yang masih hidup. Lebih 20 tahun disanjung kerana gema vokalnya yang tiada tandingan, Jamal Abdillah berdepan segala kerenah dunia sepanjang tempoh itu.
Memulakan tahun 2011 dengan konsert meganya bergelar J2011-Lagenda, Jamal sekali lagi berdepan kesulitan. Gelaran legenda belum cukup gah untuk dia bersama syarikatnya Bintang Chanel mendapat sokongan penaja sebagai penyumbang impak kepada konsert yang bermula kelmarin hingga esok, di Istana Budaya itu.
"Mungkin pihak saya sendiri lambat menghantar cadangan kepada penaja atau syarikat korporat. Kita faham bahawa bajet mereka dikeluarkan awal tahun sedangkan kita pula datang penghujung tahun untuk mencari penaja.
"Sebenarnya, bagi membuat persiapan untuk mengadakan sesuatu konsert termasuk penyediaan kertas kerja, ia mengambil tempoh selama setahun sebelum penetapan tarikh konsert," kata penyanyi berusia 52 tahun itu optimis.
Bukan sahaja bajet yang terhad, sepanjang penganjuran konsert J2011-Lagenda, penyanyi tersohor menerusi puluhan lagu berhantu itu turut terkena tempias sensasi, kononnya dia 'anak emas' Istana Budaya (IB). Disebabkan faktor itulah, Jamal didakwa mudah mendapat tempat di Panggung Sari yang menjadi dambaan ramai anak seni.
Sensasi Bintang: Apa masalah utama menyebabkan sukar mendapat kepercayaan penaja?
JAMAL ABDILLAH: Mungkin kertas kerja pihak saya tidak berjaya meyakinkan, penaja perlu tahu apakah keuntungan dan pulangan pelaburan yang mereka perolehi sekiranya menaja konsert seseorang artis. Keyakinan itu yang saya tidak mampu buktikan. Bab itulah yang saya tidak arif. Tak mengapalah, lagi pun tahun lepas juga saya buat konsert tanpa penaja besar.
Untuk konsert kali ini pula, adakah Jamal berpuas hati dengan keseluruhan kelancaran dan perancangan yang telah diatur?
Ikutkan kata hati, saya mahu hasil yang lebih baik setiap mengadakan konsert. Kalau dilihat dari segi masa yang diperuntukkan dengan latihan, inilah hasil terbaik yang telah saya usahakan.
No comments:
Post a Comment