MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (belakang lima dari kiri) ditemani Johan (belakang tujuh dari kanan) bergambar bersama pengacara yang terlibat pada majlis pelancaran Program Raudhah dan Akademi Al-Quran 5 TV9 bertempat di Sri Pentas baru-baru ini.
STESEN televisyen TV9 nampaknya semakin sinonim dengan pelbagai program berunsur keagamaan. Menyedari kekuatan mereka terletak kepada program-program berunsur demikian, TV9 membuka tirai 2011 dengan memperkenalkan Raudhah iaitu penjenamaan baru yang merangkumi kesemua program-program keagamaan di saluran tersebut.
Raudhah, merangkumi lapan program ilmiah yang terdiri daripada Akademi Al-Quran 5 (AQ5) yang juga merupakan program utama dalam penjenamaan Raudhah. Ia diikuti dengan Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik dan Al-Quran.
Menurut Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, penjenamaan semula Raudhah diperkenalkan sebagai satu destinasi untuk kesemua penonton Muslim moden mencari isi kandungan rohaniah mereka sekali gus mempelbagaikan ilmu pengetahuan.
“Kami percaya ramai di luar sana yang mengharapkan program-program sebegini wujud dan kami berjanji akan memberi kualiti yang terbaik untuk penonton,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Raudhah di Sri Pentas baru-baru ini.
Sementara itu, program baru, Safiyya pula, ia memartabatkan wanita zaman moden yang menitikberatkan imej muslimah serta nilai-nilai keIslaman.
No comments:
Post a Comment