NUFFNANG ADS

Sunday, January 2, 2011

Tiga malam pop yeh yeh



PEREDARAN masa menyaksikan artis senior bersilih ganti artis muda.

Jika suatu ketika dulu, irama seperti pop yeh yeh menjadi muzik kontemporari disukai ramai, kini ia seolah sepi ditinggal zaman.

Mungkin generasi muda kurang mengenali nama kumpulan Orkes Nirwana atau penyanyi seangkatan seperti A Halim dan J Sham. Namun, pepatah menyebut tanpa yang lama, tiada yang baru, seharusnya sumbangan artis senior dan veteran dihargai.

Meneruskan perjuangan pop yeh yeh agar terus diingati, Kelab Kebajikan Artis Pop Yeh Yeh bersama Yayasan Warisan Johor mengambil inisiatif menganjurkan persembahan Himpunan 60-an Kedua. Persembahan ini dianggap istimewa kerana menghimpunkan seramai 23 artis veteran yang tampil menyanyi di pentas.

Pengerusinya, Datuk A Rahman Hassan berkata, di kalangan peminat tentu ada yang masih ingat persembahan ini pernah diadakan pertama kali di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 1985. Katanya, ketika itu acara ini dianjurkan Persatuan Anak Melayu Johor bertujuan mengutip derma membantu mangsa kebuluran di Afrika. Kini selepas 26 tahun, persembahan ini kembali diadakan semula walaupun ada kalangan artis veteran yang sudah uzur dan meninggal dunia.

"Pada acara kedua ini membawa tagline Selagi Ada Waktu yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya Johor Bahru selama tiga hari berturut-turut bermula 7 Januari nanti.

"Membawa suasana seperti pesta 60-an, Pertandingan Karaoke Akhir Pop Yeh Yeh Bawah 30 Tahun diadakan pada hari pertama diikuti persembahan Himpuan 60-an pada 8 Januari dan hari terakhir, Pertandingan Akhir Juara Kugiran.

"Sambil berhibur, tujuan dua pertandingan ini yang mengambil lokasi di Plaza Angsana adalah mencari pelapis terdiri generasi muda yang meminati irama pop yeh yeh," katanya.

Vokalis dan pemain gitar Orkes Nirwana ini berkata, Himpunan 60-an Kedua menjadi acara kemuncak menampilkan persembahan artis antaranya Datuk Jeffrydin, L Ramli, A Halim, J Sham termasuk lima penyanyi wanita, Datin Azizah Mohamad bersama Orkes Nirwana, Afidah Es, Fatimah M Amin, S Mariam dan Roziah Latif.

"Ada beberapa artis seperti Datin Orkid Abdullah dan Rosnah Harun tidak dapat menyanyi kerana uzur. Namun, saya tetap menjemput semua artis 60-an untuk hadir memberi sokongan.

"Tujuan acara ini adalah mengembalikan kegemilangan irama pop yeh yeh yang bermula di selatan dan Singapura. "Dalam pada itu, saya juga ada menulis surat kepada Kerajaan Negeri Johor. Dalam surat itu, saya meminta agar pop yeh yeh diiktiraf sebagai khazanah negeri seperti zapin dan ghazal. "Ini menjadi usaha pengekalan dan perkembangan irama ini agar terus dapat diajar pada generasi muda akan datang. Begitu juga, saya mencadangkan agar diwujudkan galeri pop yeh yeh. Buat masa ini, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman memberikan maklum balas positif pada idea yang dikemukakan.

"Adanya persembahan seperti ini, ia memberi penghargaan pada artis veteran dan peminat yang sentiasa menyokong pop yeh yeh. Pada acara ini nanti, ada beberapa segmen seperti mengenang kembali artis yang sudah pergi," katanya.

Acara yang mendapat tajaan TZ Emas Holding Sdn Bhd itu diharap dalam membantu mengisi dana kelab. Katanya, acara berkenaan sememangnya bermatlamat kebajikan dan tiada bayaran tiket dikenakan, tetapi beliau berharap ada yang menderma untuk membantu artis veteran.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2