NUFFNANG ADS

Friday, December 31, 2010

Janda Akhil Hayy kemalangan

MAIZAWATI ditemani Mohd. Yassin selepas menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam



IPOH - "Saya bersyukur kerana bayi dalam kandungan saya disahkan selamat."

Demikian luahan Maizawati Zainal, 35, bekas isteri penceramah dan penyanyi, Akhil Hayy, beberapa jam selepas menjalani pembedahan memasukkan dua plat besi pada tangan kirinya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pagi Selasa lalu.

"Doktor pakar mengesahkan tiada sebarang komplikasi terhadap kandungan yang kini berusia hampir lima bulan," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, kereta Proton Gen 2 yang dipandu Maizawati atau lebih dikenali sebagai Maiza merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba membuat pusingan U berdekatan Sekolah Menengah Izzudin Shah di sini.

Akibat kemalangan itu, Maiza patah tangan kiri dan cedera kedua-dua kaki selain mengalami lebam pada dahi.

Siapa bakal Raja Lawak ?

PESERTA yang bakal membawa cabaran Gelanggang Raja Lawak musim baru.



PROGRAM realiti komedi, Raja Lawak akan kembali lagi untuk musim kelima dengan 12 finalis yang sudah bersedia untuk berentap di Gelanggang Raja Lawak.

Masih mengekalkan konsep dan format yang sama iaitu pemarkahan penuh masih terletak 100 peratus di tangan pengundi melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), tiga orang pengkritik tetap akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta

Program realiti yang berjaya mencatatkan jumlah rating 1.37 juta penonton pada episod akhir musim lalu turut terpilih sebagai program komedi yang dicalonkan untuk bertanding di Anugerah Televisyen Asia di Singapura itu akan menggamatkan penonton bermula pada 7 Januari, pukul 9 malam di saluran Astro Prima.

"Lebih bersedia! Kita buat pemilihan daripada 2,000 peserta yang datang dari seluruh negara kepada 28 peserta dan di bawa untuk uji bakat ke dua di Kuala Lumpur. Setelah melihat dari beberapa sudut, kami memilih 12 yang terbaik," ujar Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani selepas mengumumkan senarai peserta Raja Lawak 5 di Pasar Seni baru-baru ini.

Peserta kali ini terdiri daripada lapan peserta berkumpulan iaitu Kumpulan Pukaw (Indra Putra Setia Negara, 22, Abd. Hadzir Abdullah, 23, Nizam Solah, 34), R2 (Rahim Mat Ali, 40, Ridhuan Mat Ali, 21), Bobo (Mohd Hamizi Hashim, 24, Mohd Azwan Sabri, 24), Kopi O (Syariwan Joir, 28, Fakhruddin Mohd. Azmi, 19), Balas (Fandi Muhammad, 25, Mohd Shukri Mohd Safar, 24), Kami (Zarina Mohd Nor,34, Elly Sarimah, 29), Lucky (Mohd Zhafir Hilman Hassin, 23, Mohd Hazwan Azani, 23, Khairul Nazmi Rodzy, 23), TBO (Ahmad Firdaus Misnan, 24, Mohd Sufian Masri, 25, Mohd Isa Razai, 25).

Sementara peserta solo terdiri daripada Muhammad Hanafi Rusmadi, 18, Sulaiman Ibrahim, 29, Abdul Rahman Kasim, 33 dan Mohd. Nazmi Md Isa, 23.

Daripada enam lokasi uji bakat yang bermula 9 Oktober hingga 7 November lalu, lima juri dibawa mencari peserta terbaik, iaitu Afdlin Shauki, Sathia, Farouk Hussein, David Teo dan Os. Antara mereka ini, tiga akan menjadi juri tetap sepanjang berlangsungnya program ini nanti.

Namun siapakah yang bakal memegang tampuk juri tidak sama sekali akan diumumkan sebelum berlangsungnya episod pertama Gelanggang Raja Lawak 5 pada 7 Januari depan.

"Sudah pasti ramai yang tertanya-tanya siapa juri yang akan menggantikan tempat arwah Din Beramboi. Itulah keistimewaannya apabila juri menjadi sebahagian daripada program ini dengan menggalas tugas sebagai mentor. Semua juri yang dibawa ke lokasi uji bakat adalah nama besar dan pengaruh mereka masih kuat hingga hari ini," kata Nizam yang sukar untuk memilih juri berbanding peserta.

Hadiah utama bagi Juara Raja Lawak musim ini ialah wang tunai sebanyak RM100,000, sementara naib juara, RM50,000 manakala tempat ketiga RM 30,000 disamping hadiah-hadiah yang lain.

Thursday, December 30, 2010

Tuntut Ameng bayar RM85,000



KUALA LUMPUR: “Saya dah minta, tapi dia suruh minta pada lelaki lain,” kata A Aida ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding sebutan permohonan tuntutan nafkah tertunggak dua anaknya berjumlah RM85,000 difailkan terhadap bekas suaminya Ameng di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Pelakon dan penerbit, Aida atau nama penuhnya Zaidah Awang, 40, mendakwa Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, tidak pernah membayar nafkah kepada dua orang anaknya sejak 17 Disember 2003 lalu.

Justeru, penerbit drama bersiri Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tuntutan nafkah yang tertunggak selama 85 bulan pada 21 Disember lalu di mahkamah.

Pada prosiding sebutan kali pertama semalam, Hakim Abdul Walid Abu Hassan membenarkan permohonan tunjuk sebab (secara ex-parte) kepada Ameng atas kegagalannya membayar nafkah anak sehingga tertunggak.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan menguatkuasakan perintah mahkamah terhadap nafkah anak sejak enam tahun lalu itu yang akan dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah pada satu tarikh yang ditetapkan.

Terdahulu ketika prosiding, Hakim Abdul Walid bertanyakan kepada Aida mengapa selepas enam tahun baru permohonan itu dibuat.

Aida yang diwakili peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli berkata tujuan dia berbuat demikian untuk memberi peluang kepada bekas suaminya itu, namun sehingga kini dia masih gagal membayar nafkah.

Pada prosiding perceraian mereka, atas persetujuan bersama mahkamah memerintahkan Ameng membayar nafkah anak RM1,000 untuk dua orang anaknya Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu didepositkan ke dalam akaun pemohon sebelum atau pada 7 hari bulan setiap bulan selain menyerahkan hak jagaan anak kepada Aida.

Bagaimanapun Ameng didakwa gagal berbuat demikian.

Aida dalam afidavit permohonannya mendakwa sejak perintah mahkamah itu dia terpaksa menanggung keperluan dan perbelanjaan anak-anak mereka tanpa sebarang bantuan responden (Ameng) walhal sehingga kini tiada apa-apa perintah mahkamah yang membatalkan atau meminda perintah itu.

Dia turut mendakwa keengganan responden mematuhi perintah, jelas menunjukkan dia menghina mahkamah dan wajar diambil tindakan selanjutnya selain dilihat menafikan hak anaknya.

“Tindakan responden turut memberi tekanan kepada saya dan anak menganiaya dan menzaliminya,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada tahun 1994 dan dikurniakan dua orang anak sebelum bercerai pada 17 Disember 2004.

Pada 1 November lalu, Ameng dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.

Ketika prosiding perbicaraan di peringkat bela diri, vokalis kumpulan Spring itu mencetuskan kontroversi apabila mendakwa terdapat konspirasi Aida dan suaminya Asisten Superintendan Suffian Sulaiman untuk menjatuhkannya.

Sebaliknya Aida dalam satu sidang media menggelar Ameng pembohong dan akan mengemukakan saman malu terhadap bekas suaminya itu kerana memfitnahnya dan suami selain mengemukakan permohonan tuntutan tunggakan nafkah.

Ameng yang popular dengan lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati itu kini berkahwin dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal berusia tiga tahun.

Wednesday, December 29, 2010

Percerai Artis Sein Tutup Tahun 2010

BIARPUN berpisah, Sein dan bekas isterinya, Nana, tidak pernah berdendam.



PENUTUP tahun 2010 dilengkapkan dengan berita perceraian penyanyi dan pelakon Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein, 27, yang dikira mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini tiada sebarang petanda mengenai keretakan hubungan mereka.

Baik Sein mahu pun Nana, 26, kedua-duanya mengunci mulut mengenai punca perpisahan mereka setelah hidup bersama selama empat tahun dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy yang berusia setahun.

Sein yang ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2010 berakhir seperti sudah dapat menghidu soalan yang ingin diajukan kepadanya dan dengan terbuka meminta wartawan bertanya apa sahaja persoalan yang bermain di kepala.

Meskipun enggan membuka mulut tentang punca perceraian, Sein menjelaskan tiada lagi persefahaman antara mereka merupakan salah faktor perpisahan.

"Kami tidak dapat cari persefahaman, lebih baik berpisah. Tentang berapa lama hubungan kami bermasalah biarlah saya simpan. Itu sahaja yang boleh saya kongsi," ujar bekas anggota kumpulan Ruffedge itu minta difahami.

Disoal lagi mungkinkah wujud orang ketiga dalam hubungan mereka atau mungkin mereka juga mangsa badi program Sehati Berdansa memandangkan mereka merupakan pasangan ketujuh yang berpisah daripada program tersebut, Sein menjawab tenang:

"Jika wujud orang ketiga tidak mungkin kami akan berpisah dengan cara baik. Itu hanyalah gosip sahaja. Mengenai badi program Sehati Berdansa, perkara ini semua berlaku secara kebetulan.

"Saya tidak percaya mengenai badi kerana sebagai seorang Islam, saya percaya dengan ketentuan Allah. Perpisahan kami adalah menerusi perbincangan, setelah kedua-dua kami bersetuju untuk berpisah barulah perceraian itu berlaku," jelas juara program Sehati Berdansa musim ketiga itu lagi.

Tuesday, December 28, 2010

Syazwani paling konsisten

BERJAYA bergelar juara Kamilah Bintang, Syazwani ingin meneruskan usahanya bagi menggapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor pula.


ACARA kemuncak Kamilah Bintang yang berlangsung di Studio Finas, Hulu Kelang, Selangor minggu lalu telah menyaksikan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku, Petaling Jaya, Syazwani Sapari dinobatkan sebagai juara dengan menewaskan lima peserta yang lain.

Menyanyikan lagu berjudul Bertamu Di Kalbu nyanyian asal Jaclyn Victor pada acara kemuncak, ternyata Syazwani telah dapat membawakan lagu berkenaan dengan baik. Lebih menarik lagi, nyanyian Syazwani itu juga turut melahirkan rasa kagum buat penyanyi asal lagu berkenaan yang turut diundang khas.

Ketika ditanya tentang kemenangan yang diraih itu, Syazwani menjelaskan dia sendiri tidak menyangka untuk muncul sebagai pemenang. Ujarnya, persembahan kelima-lima peserta yang lain juga sangat bagus menyebabkan persaingan menjadi lebih sengit.

"Pada mulanya saya memang tidak yakin untuk menang. Namun saya bertekad untuk membuat persembahan yang terbaik dan berpuas hati dengan persembahan pada acara akhir ini biarpun ada peserta lain membuat persembahan yang lebih baik.

"Dengan kemenangan ini juga, saya berharap akan dapat lebih banyak peluang untuk menyanyi selepas ini. Namun saya akan tetap mengutamakan pelajaran demi untuk mengejar cita-cita sebagai doktor," ujarnya ketika ditemui selepas berakhir pertandingan tersebut.

Kemenangan yang diraih oleh Syazwani itu sebenarnya turut dibantu dengan persembahan konsisten peserta berkenaan pada setiap minggu. Malah, dia juga muncul sebagai juara untuk minggu kelima dan sering berada di kedudukan kedua pada minggu-minggu sebelumnya serta menjadi peserta pilihan untuk menang.

Sementara, jumlah keseluruhan markah yang telah dikumpul oleh Syazwani pula adalah 46.5 dan perbezaan 0.4 markah untuk mengatasi peserta yang muncul naib juara. Dengan kemenangan itu, Syazwani telah berjaya meraih hadiah berupa biasiswa pendidikan sebanyak RM15,000, pakej percutian ke Taman Tema Gold Coast, Australia, komputer riba, iPod shuffle dan dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas.

Kamilah Bintang merupakan sebuah pertandingan rancangan realiti TV yang mencungkil bakat nyanyian kanak-kanak dalam bidang nyanyian. Ia turut menampilkan konsep baru bagi rancangan realiti TV apabila tiada penyingkiran di kalangan pesertanya.

Sunday, December 26, 2010

Cungkil Rahsia Pasangan Selebriti

PROGRAM ini bakal menguji keserasian antara pasangan selebriti dalam menjawab soalan kuiz berkaitan rumah tangga.



ASTRO sememangnya tidak pernah ketandusan dalam menghasilkan pelbagai program menarik buat tatapan penonton. Terbaru, mereka kini muncul dengan sebuah program permainan dikenali sebagai Serasi Bersama yang menguji tahap keserasian pasangan selebriti.

Ia merupakan sebuah rancangan berkonsepkan kuiz yang melibatkan selebriti popular tanah air, yang mana mereka akan diajukan pelbagai soalan yang berkaitan dengan rahsia rumah tangga.

Merupakan sebuah program yang diadaptasi daripada rancangan Mr. & Mrs. yang cukup popular di England ketika ini, ia turut menampilkan Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira sebagai hos bersama.

Menurut Aznil, menerusi program tersebut, sebanyak tiga pasangan akan bertanding dan mereka akan diajukan dengan pelbagai soalan yang merangkumi rahsia rumah tangga mereka. Pasangan yang dapat memberikan jawapan yang sama paling banyak akan memenanginya.

“Menariknya tentang Serasi Bersama, penonton akan dapat menyaksikan begitu bahagianya setiap pasangan yang mengambil bahagian dan menerusi rancangan ini dapat dicungkil tentang rahsia perkahwinan mereka.

“Kepada pasangan yang muncul sebagai pemenang, kesemua wang kemenangan yang diraih mereka akan didermakan kepada badan kebajikan yang mereka pilih sendiri,” ujar Aznil ketika ditemui pada majlis pelancaran program berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kebanyakan pasangan yang menyertai rancangan itu juga sudah lama mendirikan rumah tangga iaitu lebih daripada 10 tahun dan ada yang baru mengecapi nikmat berumah tangga.

Antara pasangan selebriti yang menyertai rancangan ini seperti pasangan Aziz M. Osman, Bienda, Mustapha Kamal, Adlin Aman Ramlie serta tidak ketinggalan pasangan penulis novel terkenal, Ahadiat Akashah dan pasangan jurulatih bola sepak, Dollah Salleh.

Saturday, December 25, 2010

ABPBH hiburan terbaik

PELAKON Wanita Terbaik Filem, Sharifah Amani dari filem Mualaf (kiri) dan Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Anugerah Skrin, Bront Palare (kanan), dari filem Belukar, di Anugerah Skrin 2010 di PWTC, malam tadi.


KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) mengungguli kategori Rancangan Hiburan Terbaik pada Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Ia kemenangan kedua ABPBH selepas kali pertama dinobatkan juara kategori sama pada ASK 2006. ABPBH program berprestij anjuran Berita Harian yang mula diadakan pada 1987. Edisi 2009 disiarkan secara langsung oleh TV3, April lalu menewaskan empat program hiburan hebat lain yang dicalonkan kali ini.
Sementara itu, drama Antara Garisan arahan Shahrulezad Mohameddin mengungguli kategori Drama Terbaik, manakala filem Muallaf diumumkan Filem Terbaik pada malam Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu yang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) mengetepikan 16 drama (telefilem) lain yang berentap, selain 12 drama rantaian dan lima drama komedi yang dicalonkan tahun ini. Sebanyak 24 kategori dipertandingkan pada ASK 2010 membabitkan pelbagai karya drama, filem serta karyawan muka baru dan lama.

Fauzi Nawawi menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Noorkhiriah (Pelakon Wanita Terbaik Wanita), Isma Yusoof (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama), Fadilah Mansor (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama), Antara Garisan (Anugerah Lakon TV Terbaik) dan Datang Bulan (Videografi Terbaik).

Sementara itu, filem Muallaf diangkat Filem Terbaik menewaskan 24 calon lain dengan Pengarahnya, Allahyarham Yasmin Ahmad dinobatkan Pengarah Terbaik Filem, manakala kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem diraih menerusi lakonan hebat, Sharifah Amani.
Aksi hebat Bront Palarae dalam filem Belukar sekali lagi menghadiahkan gelaran buatnya. Pelakon berdarah campuran Melayu-Siam-Pakistan-Cina itu dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik Filem selepas sebelum ini meraih gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23, Oktober lalu.

Jiwa Vanidah Imran merusuh



SARAT bersusun rencana karier, ibarat kaki kanannya terpasak pada tugasan rasmi yang baru dijejak iaitu mengacarakan rancangan bertaraf legasi, Nona, kaki kirinya pula terikat kontrak filem yang dibikin Afdlin Shauki.

Filem berjudul Untuk 3 Hari itu hasil adaptasi novel terkini novelis terkemuka Ahadiat Akashah. Dia tidak sesekali akan mengetepikan naskhah sebaik itu.

Bukan lagi serampang dua mata, kudrat tubuh empat keratnya dikerah lagi untuk sesi latihan menjelang pementasan teater Siti Di Alam Fantasi (SDAF) yang sedang berkampung di Istana Budaya (IB).

Sepertinya 24 jam sehari tidak cukup buat Vanidah menyempurnakan komitmen.

Jadualnya dipadatkan lagi dengan cengkaman peperiksaan akhir semester untuk program ijazah sarjana muda yang sedang diikutinya di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Itu semua tidak termasuk tugasan hakiki sebagai isteri dan ibu kepada dua anak yang sedang membesar.

Nona

Barangkali, jika semua itu mampu terlaksana tanpa celanya, Vanidah, pasti digelar wanita super.

Barangkali juga, kegilaan wanita yang intimnya disapa Vee itu sudah dirasuk oleh cita-cita - mahu menakluk setiap ruang tanpa mengira soal istirehat.

Hampir abnormal kitar hidupnya. Bersengkang mata dan tidurnya paling panjang sekadar enam jam sehari, apa sebenarnya yang dikejari Vanidah?

Disember 2010 menjadi tempoh genting buat Vee sehinggakan ada ketika tidurnya sekadar tiga jam bahkan pernah sejam sahaja sehari.

Nadia nafi seksi


PENAMPILANNYA wanita berusia 25 tahun ini dikatakan cukup berani kerana tidak kekok mendedahkan sebahagian tubuh badannya. Namun, Nadia Aqilah yang semakin dikenali sebagai seorang pelakon drama dan teater tidak begitu ambil pusing dakwaan itu. Yang penting baginya, hasil kerjanya diterima baik oleh umum.

Diamat-amati, sebenarnya sudah banyak produk televisyen yang menampilkan pelakon dan penyanyi ini. Antaranya ialah Emil Emelda, Sindarella, Merah Putih dan Tari Tirana.

Selain itu, Nadia juga pernah bergiat dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun 2005 dan P.Ramlee The Musical pada tahun 2008.

Ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, D.I.V.A baru-baru ini di Studio Bentley, Damansara, Nadia menegaskan bahawa penampilannya tidak begitu seksi seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Saya masih menjaga penampilan agar tidak begitu keterlaluan,” katanya jujur seraya menidakkan tanggapan umum.

Selanjutnya dia lebih teruja berbicara perihal album debut-nya. Bercita-cita untuk mengadakan konsert solo, penyanyi yang berasal dari Subang Jaya, Selangor ini berasa puas kerana dapat menghasilkan album sulung setelah sekian lama menanti. Hakikatnya, Nadia telah mula melibatkan diri dalam dunia nyanyian sejak berusia 14 tahun lagi.

Ujarnya, dunia lakonan dan persembahan teater juga sedikit sebanyak membataskan dirinya untuk tampil dengan album solo.

“Sebenarnya, saya mula melibatkan diri dengan nyanyian sejak bersekolah lagi. Kini, Lakefront Record selaku label telah merealisasikan cita-cita saya untuk menghasilkan album.

“Album D.I.V.A menampilkan 10 lagu baru dan lirik hasil karya saya sendiri termasuk bekerjasama dengan komposer Daniel Veerapan.

“Saya berterima kasih kepada pihak label kerana memberi peluang menghasilkan album dan ini merupakan sebuah peluang yang amat saya nantikan,” katanya.

Album D.I.V.A mengketengahkan dua buah single iaitu D.I.V.A yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu manakala Free dalam bahasa Inggeris.

Thursday, December 23, 2010

2 Tahun berkahwin Mawi Tanpa Zuriat mereka



TANGGAL 20 Disember lalu genap usia perkahwinan Asmawi Ani atau Mawi dan isterinya, Nora'asikin Rahmat atau Ekin dua tahun.

Namun, gosip liar yang mengguris hati nyata tidak pernah lekang menghinggapi pasangan bahagia ini. Ternyata mulut orang sememangnya tak boleh ditutup.

Apapun, lali dengan segala tohmahan dan gosip yang cuba merosakkan keharmonian rumah tangga mereka itu, Mawi mahupun Ekin kini lebih selesa berdiam diri.

Menurut Ekin, 30, yang penting mereka memang bahagia dan sangat mengimpikan kehadiran cahaya mata. Ujarnya, setiap pasangan berkahwin pasti inginkan zuriat. Bagaimanapun, barangkali sekarang belum ada rezeki untuk mereka berdua.

"Saya tidak sedih, sebaliknya yakin semua ini ketentuan Ilahi. Apapun, saya sangat bersyukur rumah tangga yang dibina bersama Mawi masih bertahan.

"Saya hanya mengharapkan perkahwinan kami mampu berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Sekarang ini, kehidupan kami pun berjalan dengan baik dan lancar. Cuma, masih belum mempunyai cahaya mata dan kami sesekali tidak pernah merancang.

"Kami berserah dan dalam pada itu saya tetap berusaha menjalani rawatan tradisional.

"Antara kaedah dilakukan ialah perubatan alternatif dan berurut. Mana tahu ia akan membuahkan hasil kerana dapat seorang anak pun jadilah. Asalkan ada tanda pengikat kasih kami. Malah, saya sentiasa berdoa supaya kami diberi peluang itu.

"Siapa yang tidak impikan peluang untuk bergelar ibu dan bapa. Begitu juga dengan saya dan Mawi.

"Oleh itu, kami meletakkan tempoh masa enam tahun untuk dapat anak, kalau masih tak berhasil juga mungkin ambil anak angkat dulu," katanya.

Menyentuh soal sambutan ulang tahun mereka, Ekin berkata, dia dan Mawi meraikannya dengan majlis makan malam.

Turut disertai kembarnya, Aein bersama suami, mereka menghabiskan masa bersiar-siar di pusat beli-belah Pavillion di ibu kota.

Wednesday, December 22, 2010

Teluskah Anugerah Skrin 2010?


PERSOALAN yang timbul di benak para pemerhati festival dan acara penganugerahan berlagu lagi.

Kali ini pemerhatian difokuskan pula kepada Anugerah Skrin 2010 yang diharapkan dapat menyembuhkan rawan dan luka yang terpalit selepas Festival Filem Malaysia Ke-23 yang berlalu dengan pelbagai rasa. Sebuah penganugerahan terakhir untuk tahun 2010.

Bakal berlangsung Jumaat ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pentas anugerah sebegini menjadi medan percaturan bakat anak- anak seni yang muncul dengan produk masing-masing.

Lebih tepat lagi jika dikatakan bahawa suntikan tuah sebenarnya menjadi salah satu faktor bagi mana-mana anak seni pulang menggenggam anugerah sesudah semuanya mempersembahkan kualiti sehabis baik.

Sudah tentunya, nominasi dan pemenang bagi anugerah paling dinanti seperti aktor, aktres terbaik filem dan drama serta anugerah drama dan filem terbaik sudah menjadi perdebatan dengan hujah pemilihan masing-masing.

Tahun ini bakal menyaksikan drama seperti Taubat Nasuha, Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Dalil Cinta, Kaki, Perempuan dan Lillahi Ta’ala bertanding di bawah payung Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010.

Para pelakon dengan nama menggegarkan seperti Sheila Rusly (Taubat Nasuha), Lisdawati (Sebelum Akhirat), Ellie Suriati (Kaki), Dira Abu Zahar (Perempuan), Noor Khiriah (Antara Garisan) dan Sharifah Amani (Dalil Cinta) sudah mempamerkan kredibiliti mereka memegang tampuk pelakon wanita terbaik.

Siapa agaknya yang bakal menempatkan diri dalam sejarah terbaik antara terbaik tersebut?

Mampukah pula Zulhuzaimy yang muncul dengan drama Dendam Seorang Perempuan muncul sebagai Pelakon Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010? Atau lebih layak gelaran itu diberikan kepada Roslan Salleh atau arwah Yalal Chin yang muncul melalui drama Bagaikan Sumayyah?

Atau juga, masih relevankah Rosyam Nor yang mempersembahkan peranan lelaki panas baran menerusi Kaki (siaran RTM) mampu menarik perhatian juri meletakkan dia sebagai Pelakon Drama Terbaik tahun ini?

Merenung perjalanan drama bersiri yang semakin meningkat kualiti daripada sudut standard dan bilangan penonton, beberapa drama rantaian terbaik mendapat perhatian ramai. Dapatkah drama Nur Kasih dengan barisan pelakon baru dan handal Fizz Fairuz, Remy Ishak dan Tiz Zakiyah menggondol anugerah Drama Rantaian Terbaik?

Atau faktor komersial itu boleh ditepis dengan drama-drama lain seperti Adamaya, Ghost, Tari Tirana mahupun Halimah Jongang?

Tuesday, December 21, 2010

Bapa mertua Raisuddin ada calon lain

Raisuddin Hamzah bersama Siti Fatimah Suberi tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi perbicaraan pengesahan pernikahan mereka, semalam.



SHAH ALAM:--- Bapa mertua Raisuddin Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bahawa beliau tidak merestui perkahwinan penyanyi dan pelakon itu dengan anaknya berikutan perbezaan umur yang amat ketara antara pasangan tersebut.

Suberi Abdullah, 50, berkata, beliau juga mempunyai dua pilihan yang lebih sesuai termasuk anak lelaki Raisuddin sendiri iaitu Hamzah sebagai calon suami untuk Siti Fatimah.

''Saya tidak setuju dengan perkahwinan itu sebab perbezaan umur 31 tahun. Anak saya baru berusia 19 tahun (ketika bernikah) dan masih anak dara sedangkan Raisuddin berusia 50 tahun serta sudah ada isteri.

''Saya juga ada dua calon suami untuk Siti Fatimah iaitu anak Raisuddin sendiri dan anak seorang doktor yang dipanggil along,'' katanya semasa disoal oleh peguam syarie Roshdan Sujak Rafie.

Suberi memberi keterangan bagi permohonan untuk membubarkan perkahwinan Raisuddin dan Siti Fatimah secara faraq.

Menurut Suberi, kedua-dua defendan bukan sahaja tidak pernah meminta izin malah langsung tidak memaklumkan hasrat mereka untuk bernikah di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007.

Beliau yang masih sihat serta tidak pernah hilang kelayakan sebagai wali hanya mengetahui tentang pernikahan itu selepas Raisuddin dan Siti Fatimah kembali dari sempadan Thailand itu.

''Saya tidak pernah mewakilkan wali kepada sesiapa untuk menikahkan Siti Fatimah. Saya juga tidak pernah dihubungi melalui telefon bimbit atau telefon rumah untuk dimaklumkan tentang pernikahan itu.

''Saya langsung tidak tahu mereka ke Songkhla. Siti Fatimah sedang menuntut di Unisel (Universiti Industri Selangor) dan dia sepatutnya balik ke rumah pada masa itu,'' jelas beliau.

Pernikahan Raisuddin, 53, yang juga penyanyi era 80-an dengan Siti Fatimah, 22, di Songkhla pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.

Beliau membuat permohonan tersebut dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.

Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan mereka yang kini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah yang sama.

Pasangan yang telah diperintah tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan itu diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Zainur Rasyid Hassin bersambung pada 23 Februari ini.

Siapa bakal julang trofi ASK 2010?

MAMPUKAH Sharifah Amani memenangi trofi Anugerah Skrin pertamanya?


BAHANG Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) sudah semakin dirasai. Hanya tinggal lima hari sahaja lagi anugerah itu akan membuka tirainya untuk sekian kalinya.

Seperti mana yang diketahui umum, penganjuran ASK adalah bertujuan untuk mengiktiraf karya anak tempatan yang telah bertungkus lumus menghasilkan drama serta filem sepanjang tahun lalu.

Setiap tahun, ASK akan menjadi tumpuan peminat dan pemerhati dunia hiburan tanah air yang ternanti-nantikan siapakah yang bakal dijulang dengan gelaran terbaik yang menjadi dambaan setiap anak seni.

Melihatkan kepada senarai drama yang dipertandingkan tahun ini, memang tidak syak lagi kesemuanya bakal memberikan saingan yang cukup sengit.

Pastinya, pihak juri yang ditauliahkan untuk menilai drama yang tercalon kali ini akan pening kepala dalam menentukan pemenang yang paling layak untuk merangkul kejuaraan.

Sekadar mahu menghangatkan ASK2010 yang akan bersiaran pada 24 Disember ini, Hits seperti tahun-tahun sebelum ini, mahu mengajak pembaca setia melihat senarai calon-calon yang dilihat berpotensi untuk memenangi anugerah dalam beberapa kategori utama.

Untuk itu, Hits akan memulakan teka-teki dan spekulasi calon yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk disenaraikan dalam dua kategori iaitu Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Drama Terbaik.

Barangkali ramai yang terlupa, tahun lalu kedua-dua kategori ini menjadi milik Ahmad Tarmimi Siregar dan Norish Ismail yang masing-masing memenanginya menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama serta Tersasar Di Jalanmu.

Siapakah pula aktor dan aktres yang bakal menjejak langkah kedua pelakon itu untuk dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Drama Terbaik ASK2010?

Jika drama yang dicalonkan semuanya memiliki kehebatan dan keistimewaan masing-masing, begitu juga dengan barisan aktor yang disebut-sebut mampu tersenarai dalam lima kelompok terbaik untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Drama Terbaik.

Menariknya, tentang ASK, setiap kali nama mereka yang layak dicalonkan dalam kategori lakonan khususnya drama, kita akan dapat menyaksikan nama-nama hebat dalam senarai lima terbaik itu.

Bukan hanya menyenaraikan nama-nama baru, tetapi aktor senior juga sering kali memberikan saingan yang cukup hebat sekali gus membuktikan sebenarnya pelakon senior memang bukan calang-calang.

Sunday, December 19, 2010

Vanidah Imran ganti Maya Karin




TAHUN 2011 menyaksikan perubahan besar dalam pasukan program wanita popular di Malaysia, Nona, apabila ia tidak lagi diterajui oleh pengacara dan pelakon jelita, Maya Karin sebaliknya ia digantikan dengan seorang lagi pelakon terkenal, Vanidah Imran atau Vee.

Pilihan pasukan Nona itu menunjukkan, Vee dilihat mampu menarik kembali penonton kerana dia dipilih daripada beberapa calon yang mempunyai kelayakan sama sepertinya.

Namun, bagi Vee ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai pengacara Nona di Cruise Tasik Putrajaya baru-baru ini, tugas yang berat menantinya.

“Besar tanggungjawab yang diberi kepada saya. Bagi saya kejayaan Nona bukannya datang daripada seorang individu sahaja sebaliknya atas kerjasama semua pihak.

“Soal siapa ganti siapa itu, saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana saya juga pernah lihat Maya mengacara Nona, dia seorang pengacara yang bagus. Saya pula orang baru dalam Nona, harap semua orang memberikan sokongan,” ujarnya.

Disoal tentang tahap keyakinannya untuk menaikkan rating program Nona, dalam senyuman, Vee tidak dapat menyembunyikan kegusarannya.

“Saya sebenarnya sangat gementar dan teruja apabila dipilih jadi pengacara Nona kerana ramai orang di luar sana dibesarkan dengan Nona.

“Saya bimbang juga tidak mencapai piawaian yang penonton harapkan tetapi dengan tunjuk ajar penerbit dan krew produksi Nona, saya sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik,” tuturnya yang telah menjalani rakaman lima episod Nona untuk tayangan Januari depan.

Jelas Vee lagi, dia seorang yang terbuka dengan kritikan, malah dia mengalu-alukan pendapat penonton terhadap prestasinya dalam Nona apabila ditayangkan bermula 2 Januari depan.

“Saya tidak kisah kalau orang cakap gaya pertuturan saya tidak bagus atau apa-apa kritikan. Sebab bagi saya dengan kritikan saya akan menjadi seorang pengacara yang lebih baik.

“Jadi kepada penonton, jangan malu atau segan untuk mengkritik saya. Sekarang ini sudah ada banyak ruang untuk mereka berikan kritikan atau komen selain e-mel, saya juga miliki akaun di laman sosial Facebook,” katanya.

Friday, December 17, 2010

Bertunang lagi, Sarah pilih Shuib


PENGUMUMAN Shuib, ahli kumpulan Sepah atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berhubung pertunangannya yang berlangsung pada 16 November lalu dengan penyanyi Siti Sarah Raisuddin baru-baru ini mengejut banyak pihak.

Ramai tidak mengetahui kisah cinta mereka dan turut terkejut dengan pilihan Sarah yang jauh menyimpang daripada 'seleranya' sebelum ini, daripada mat saleh kepada lelaki Melayu.

Sarah yang ditemui di majlis pelancaran produk Balung baru-baru ini, hanya tertawa ketika diajukan soalan berhubung pertunangannya itu.

"Sebenarnya saya bukannya jenis memilih malah saya tidak kisah bakal suami saya bangsa apa, apa warna kulitnya, dari negara mana? Apa yang penting adalah dia menyayangi saya sepenuh hati dan kalau sudah jodoh, saya terima seadanya," ujar Sarah sedikit serius.

Disoal lagi, jika dulu dia memilih lelaki mat saleh berasal dari New Zealand kenapa kini dia beralih arah kepada Shuib, seorang pelawak berusia 26 tahun yang berasal dari Johor?

Sarah dalam senyuman bahagia mengatakan: "Shuib seorang yang sangat ringkas. Saya juga sangat selesa berada di sampingnya kerana dia kenal siapa Sarah. Shuib yang dilihat di kaca televisyen seorang yang sangat berbeza dengan Shuib yang saya kenal kerana dia seorang yang serius.

"Perkara yang membuatkan saya suka pada Shuib adalah kerana dia sangat menghormati keluarga saya dan dia mempunyai hubungan yang baik dengan bapa saya. Dia telefon bapa saya dan cakap dia benar-benar sayangkan saya."

Sejak bercinta dengan Shuib selama setahun lebih, akui Sarah dirinya banyak berubah kerana lelaki tersebut banyak mengajarnya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

"Alhamdulillah, banyak perubahan diri yang saya alami sejak kenal Shuib. Dia seorang yang pandai menceriakan suasana dan merendah diri. Selain saya dan bapa, dia rapat dengan semua keluarga saya," kata Sarah.

Thursday, December 16, 2010

Mamat Khalid lega



PENGARAH filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR), Mamat Khalid nampaknya boleh tersenyum bangga apabila filem ketujuh arahannya meraih kutipan sebanyak RM2.8 juta selepas tujuh hari tayangannya di pawagam.

Jika dibandingkan dengan sekuel pertamanya iaitu Zombi Kampung Pisang yang meraih kutipan sebanyak RM2.8 juta secara keseluruhannya, sekuel kedua ini lebih memikat hati penonton.

Kutipan filem yang dibikin dengan kos sebanyak RM1.5 juta itu dijangka terus meningkat seiring dengan siri promosi yang ligat dijalankan oleh Mamat Khalid dan Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

Meluahkan rasa syukur, Mamat menyatakan komedi ringan yang dibawa dalam filem itu adalah antara faktor penonton menyukai filem tersebut malah disebabkan musim cuti sekolah, terdapat penonton yang datang menonton dua kali.

“Bagi saya filem ini menepati selera penonton kerana ramai pergi menonton berulang kali, secara tidak langsung menambahkan lagi kutipan tiket.

“Sasaran saya, dalam tempoh dua minggu wajib tayang, filem ini akan dapat mengutip RM5 juta,” ujar Mamat yang menyifatkan kekecewaannya terhadap filem Estet telah terubat.

Luah Mamat, filem HKLBR, merupakan filem pertamanya yang mendapat kutipan tinggi dalam masa yang singkat.

“Filem ini lebih bagus daripada filem Zombi Kampung Pisang kerana saya bikin berdasarkan kritikan yang saya terima daripada Zombi Kampung Pisang,” katanya.

Bercakap mengenai sekuel ketiga, Mamat menyiapkan skripnya tetapi dia kini masih dalam proses memujuk dan meyakinkan pihak Tayangan Unggul bahawa filem sekuel ketiga itu akan sama hebat dengan filem HKLBR.

Mamat yang dilihat tidak jemu mempertontonkan negeri kelahirannya dalam setiap filem arahannya termasuk HKLBR, menyifatkan Perak sebuah negeri yang mempunyai pemandangan indah.

“Saya buat penggambaran di Perak untuk kebanyakan filem saya bukan kerana saya orang Perak tetapi disebabkan pemandangannya yang cukup indah.

“Sebenarnya bukan saya tidak pernah terfikir untuk buat penggambaran filem di negeri lain tetapi saya dibesarkan di Perak. Jadi selok-belok negeri ini sudah berada dalam minda saya dan tidak secara langsung ia permudahkan kerja saya daripada segi lokasi,” katanya.

Wednesday, December 15, 2010

Nubhan tidak tiru sesiapa

LANGKAH NUBHAN, judul album perdana anak kelahiran Negeri Sembilan ini sudah mempamerkan nawaitu dirinya untuk bergelar penyanyi yang serius.



LANGKAH Nubhan, itulah judul album sulung Ahmad Nubhan Ahamad, 24, atau lebih mesra disapa Nubhan. Begitu simbolik sekali judul album perdana produk program realiti Akademi Fantasia 6 (AF6) ini yang membawa pelbagai maksud tersendiri buat dirinya.

Sabar menanti, tiga tahun menjadi tempoh masa buat anak bongsu daripada lapan beradik ini lahir dengan album sendiri.

Album Langkah Nubhan memuatkan tujuh buah lagu yang menampilkan beberapa komposer ternama negara seperti Tam Spider, Audi Mok, Sharon Paul, dan tidak ketinggalan kumpulan 6ixth Sense yang baru berjinak-jinak mencipta lagu buat penyanyi lain.

Ketika ditemui baru-baru ini, pelantun lagu Oh! Juwita melahirkan rasa puas hatinya dengan kelahiran album pertama itu.

“Ramai yang tertanya-tanya mengapa saya mengambil masa yang terlalu lama untuk hadir dengan album.

“Secara jujurnya, album Langkah Nubhan mengambil masa yang lama kerana saya mahu memastikan semua lagu yang dimuatkan dalam album ini bagus dan menepati cita rasa pendengar,” ujar Nubhan teruja.

Jelasnya lagi, hanya tujuh buah lagu daripada 45 buah lagu dipilih oleh dirinya bersama pihak pengurusan untuk dimuatkan ke dalam album.

Nubhan juga tidak menolak faktor peralihan pengurusan baru dirinya yang kini berbumbungkan Artistes United Record Sdn. Bhd. juga membuatkan proses penerbitan albumnya terganggu seketika.

“Tetapi, saya tidak ‘hilang’ terus. Saya muncul dengan dua lagu single Ada Untukmu serta Oh Juwita.

“Selain itu, saya turut berlakon dan muncul dalam filem Lagenda Budak Setan, sebuah filem yang diangkat daripada novel hasil karya Ahadiat Akasyah. Walaupun hanya diberi watak sampingan, banyak yang sudah saya pelajari,” ujarnya jujur.

Tuesday, December 14, 2010

Mila uji kehebatan


LAMBAKAN penyanyi baru dan program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian menyebabkan cabaran survival dalam industri seni suara tanah air semakin sukar.

Tidak terkecuali bintang-bintang daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) yang satu ketika dulu pernah mencetuskan fenomena dalam dunia hiburan tanah air.

Sinaran bintang-bintang graduan AF ini dilihat mulai pudar, malah sesetengah pelajarnya hilang begitu sahaja dalam dunia seni. Sepi tanpa berita.

Pemilik nama Nursyarmilla Jirin atau mesra disapa Mila merupakan bekas graduan AF yang masih menyengat tuahnya berlatarkan karakter comel keanak-anakkan yang digemari lapisan umur.

Kini Mila dilihat tidak lagi bergantung harap kepada populariti semata-mata bahkan memaksa dirinya untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama anak seni yang lain.

Juara AF5 itu juga telah mula melebarkan sayapnya ke luar negara dengan menyertai beberapa pertandingan nyanyian di peringkat antarabangsa.

Khabar yang bertiup mengatakan penyanyi berumur 23 tahun itu kini sepi buat seketika ternyata bukan satu kata yang logik untuk diterima akal.

Penyanyi kecil molek itu sebenarnya sedang sibuk dengan pelbagai program yang telah diatur buatnya dan membuat dirinya akur untuk merehatkan diri dalam pentas lakonan.

11 Disember lalu adalah tarikh ujian hebat sebagai seorang penyanyi kerana berjaya meletakkan dirinya dalam pertandingan akhir Open Mic UK di Manchester, United Kingdom.

Mila menyatakan bahawa penyertaan dalam pertandingan itu adalah hasil usahanya sendiri, dengan bantuan tenaga kerjanya yang tidak henti membantunya dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Seorang kawan yang Mila kenal sewaktu mewakili Malaysia ke Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery Ke-17 di Bulgaria dulu yang memberitahu Mila berkenaan pertandingan tersebut.

"Pertandingan akhir tersebut merupakan peringkat seterusnya setelah Mila berjaya melepasi peringkat kelayakan di Newcastle Oktober lalu.

"Kalau ada rezeki, Insya-Allah Mila akan melayakkan diri ke Grand Finale di O2, London pada tahun hadapan," katanya ketika menghadiri sidang akhbar untuk Konsert Rhythyms di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) baru-baru ini.

Monday, December 13, 2010

Anakku Sazali meninggal dunia



KUALA LUMPUR: Artis veteran yang terkenal dengan watak Sazali ketika kecil dalam filem Anakku Sazali, Tony Castello, 60-an, meninggal dunia di Hospital Changi, Singapura, selepas waktu Zuhur, semalam, kerana menghidap barah paru-paru.

Menurut sahabat karib Allahyarham, Salleh Sam, 45, dia menghidap penyakit itu sejak beberapa tahun lalu dan jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, di Jurong, pagi esok.

“Jenazah tidak boleh dikebumikan lebih awal kerana terpaksa menunggu kedatangan isteri dan saudara-maranya dari Filipina,” katanya. Tony atau nama Islamnya, Mohd Nor Abdullah berasal dari Filipina. Bagaimanapun dia, ibu bapa, adik-beradik serta isterinya memeluk Islam.

Bagaimanapun, jelas Salleh, dia tidak begitu tahu mengenai keluarga Allahyarham kerana dia sangat berahsia orangnya.

“Dia seorang peramah tetapi tidak suka bercakap mengenai keluarganya. Namun, setahu saya dia tinggal di sini bersama anaknya, manakala isterinya menetap di Filipina,” katanya.

Sementara itu Datin Rosnani Jamil (Mak Nani), yang pernah berlakon bersama Allahyarham dalam filem Anakku Sazali dan Masyarakat Pincang, berkata ketika dia berlakon dan menetap di Jalan Boon Teck, Singapura, Tony dan seorang lagi pelakon, Rahmat Ali suka datang ke rumahnya.

“Jika tiada kerja, mereka berdua suka melepak di rumah saya dan saya sudah menganggap mereka adik angkat saya. “Pada zaman kegemilangan filem Melayu di Singapura, bapanya peniup trompet terkenal. Dalam filem Ibu yang membabitkan adegan Allahyarham Tan Sri P Ramlee meniup trompet, ia sebenarnya ditiup bapa Tony.

“Ibunya pula guru tari di Jalan Ampas. Semua pelakon atau penari yang akan menari dalam filem, belajar menari dengannya. Tony sangat baik dan pernah serta selalu berangan-angan hendak jadi Elvis Presley. “Dia budak pandai. Selain berbakat dalam bidang lakonan dia juga boleh menyanyi dengan baik dan mewarisi kehandalan bapanya bermain trompet.

Kali terakhir saya berjumpa Tony ketika dia dan Hashimah Yon datang pada pelancaran buku Pak Jamil (Datuk Jamil Sulung), Ogos lalu di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambah Mak Nani, dia dapat tahu berita kematian Allahyarham lewat petang dan tidak sempat untuk melawat Allahyarham.

“Pak Jamil tak sihat, jadi saya tidak boleh pergi begitu saja meninggalkannya tanpa jagaan sesiapa. Insya-Allah, apabila saya balik Singapura nanti, saya akan pergi menjenguk pusara dan kaum keluarganya yang masih ada di Singapura.

“Walaupun dia saudara baru tetapi kalau diajak bercakap mengenai agama, dia memang bijak dan ilmu pengetahuannya sangat tinggi. Saya doakan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Menerusi keberkesanan lakonan Tony membawakan watak Sazali ketika kecil, dia menang Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-4, 1957 (Tokyo). Manakala P Ramlee mendapat Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Sunday, December 12, 2010

Tiga tahun tangguh terima lamaran



Tiga tahun menyemai cinta, Rabecca Nur Al-Islam kini sudah benar-benar bersedia menamatkan zaman solonya bersama jejaka pilihan, Nor Azam Datuk Sulaiman,42, seorang duda anak dua.

Tarikh yang dipilih Rabecca ialah pada 14 Januari tahun depan yang juga merupakan tarikh yang agak istimewa kepada kedua-dua bakal mempelai ini.

"Saya membuat pengumuman ini kerana saya sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada dia," ujar Rabecca semasa mengadakan jamuan minum petang bersama media di Butik Harrods, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jumaat lepas.

Menyukai dan menyayangi kanak-kanak dan ingin hidup berkeluarga merupakan faktor lamaran bakal suaminya itu diterima selepas sekian lama.

"Saya terima lamaran dia antaranya kerana sikapnya yang sukakan kanak-kanak. Pada awal perkenalan, dia sudah melamar saya untuk berkahwin, namun ketika itu saya masih baru dalam karier dan juga masih terlalu muda.

"Saya minta tangguh dua tahun dan selepas itu ditambah lagi setahun. Jadi, selepas tahun ketiga, kami berbincang semula dan saya akhirnya bersetuju untuk menerima lamarannya," tutur aktres berusia 24 tahun itu yang kelihatan berseri dalam baju kurung kuning terang pada petang itu.

Tambahnya, tempoh penangguhan tu dimanfaatkan dengan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat dan setelah itu, timbul rasa bersedia untuk bergelar isteri setelah berumur 24 tahun.

Jika dihitung, jurang umur antara Rabecca dan bakal suaminya Azam, sebanyak 18 tahun. Tidak peduli dengan jurang umur tersebut, Rabecca menjawab persoalan itu dengan senyuman.

Saya rasa dia adalah calon terbaik bagi saya. Alhamdulillah, saya bersyukur dipertemukan jodoh bersamanya. Karakternya yang penyayang dan suka ambil berat terhadap anak-anak dan juga saya membuatkan saya terpesona dengan dirinya.

"Apa ada dengan umur, asalkan dia terima saya seadanya dan saya pun begitu jua," bicaranya.

Tidak kisah bergelar ibu kepada tiga anak kelak pada usia muda, anak ketujuh dari lapan beradik itu menyatakan betapa dia gembira dan bersyukur kerana sememangnya keinginan menjadi ibu sudah lama dinantikan.

Tambahan pula, sebelum ini Rabecca sudah mempunyai anak angkat yang telah berumur 3 tahun iaitu Nor Adam Daniel.

Saturday, December 11, 2010

Anuar lebih suka membujang...



MENJENGAH ke teluk rasa figura ternama Anuar Zain, sekali lagi pertanyaan tentang kesendirian tanpa suri di penghujung usia 40 tahun disuakan ke mukanya. Sedikit lelah yang enggan dijelmakan, pelantun yang masih berhantu dengan alunan Lelaki Ini teguh mendakap syukur.

Terima kasih Tuhan katanya kerana diperlengkapkan kehidupan bahagia beriring utuh karier. Teman dan keluarga juga berkelip indah, menemani siang malam seorang Anuar Zain.

Dia masih beraja tanpa permaisuri dan 2010 yang bakal ditinggalkan ini, langkahnya teratur tidak bergugah oleh terkilan atau sepi bersendirian yang masuk mencelah.

"Saya seorang yang sabar dan sangat bersyukur. Jika tiada jodoh sekali pun untuk saya, mungkin itulah aturan terbaiknya yang telah ditentukan kepada saya.

"Saya sendirian, solo tanpa teman hidup tetapi tidak bermakna saya dalam kesepian. Walaupun belum berkahwin dalam usia begini, saya ada ramai kawan yang berkualiti," pertahan Anuar meladeni hakikat hidup membujang.

Menambah resam orang bujang, Anuar juga tidak terdesak atau merintih jodoh tak sampai.

"Saya bukan orang yang suka berdrama sebegitu rupa. Saya menikmati hidup saya sepenuhnya dan tidak merosakkan jiwa dengan perkara sebegitu.

"Fokus sahaja dengan kerja dan kenapa harus menjadi mangsa perasaan kerana saya reda jodoh itu kerja Tuhan. Tapi bila saya kata saya reda, ada pula menggelarkan saya sebagai 'poyo'. Biarlah," ucapnya.

Berbaki kurang tiga minggu sebelum 2011 menyelinap ke posisi, Shahrul Anuar Zain yang bugar bersandar vokal lunak ada berharap. Biarlah 2011 mencurahkan hasil yang baik untuk semua. Kepada dirinya sendiri, dia tidak meletak sebarang visi khusus.

"Saya jenis sukar untuk bercakap tentang visi, lainlah kalau berkaitan dengan album atau lagu baru. Ada perkara tertentu yang datang tanpa dijangka. Tetapi biasalah, bila masuk tahun baru, orang akan cakap tentang penambahan usia atau peralihan hidup.

"Saya masih Anuar Zain yang dikenali umum, jika ada peralihan dari segi kematangan itu takrifan orang luar terhadap saya. Dalam soal kerja, ia masih sama," ucapnya sedar ada janji kepada peminat yang belum diselesaikan.

Friday, December 10, 2010

Peguam duda anak dua tambat hati Rabecca



KUALA LUMPUR: “Bakal suami saya bukan VIP atau berstatus Datuk tetapi insan biasa yang begitu memahami, menghormati saya dan keluarga.

“Sudah tiga tahun kami berkenalan dan tiba masanya untuk kami mendirikan mahligai bahagia,” kata pelakon, pengacara dan model jelita Rabbeca Nur Al Islam Ahmad, 25, ketika mengumumkan tarikh pernikahan dan persandingannya pada majlis minum petang di Harrods, pusat beli-belah KLCC, di sini, petang semalam. Majlis minum petang itu ditaja Butik Chopard, KLCC sebagai menghargai Rabecca yang juga pelanggan setia butik itu sejak tujuh tahun lalu.

Pelakon jelita itu memilih duda anak dua, berasal dari Kuching, Sarawak dan bekerja sebagai peguam dan ahli perniagaan, Nor Azam Datuk Sulaiman, 42, sebagai suaminya.

Hari yang berbahagia itu diadakan selama tiga hari, 14, 15 dan 16 Januari depan, bermula dengan majlis pernikahan pada 14 Januari yang akan diadakan di kediaman baru Rabecca dan bakal suaminya di Ampang, Selangor. “Majlis persandingan akan diadakan pada 15 Januari di Hotel Flamingo Ampang dan keesokannya majlis resepsi eksklusif untuk rakan karib di Restoran Berputar, Menara Kuala Lumpur,” katanya.

Tambah Rabbeca, sejak awal perkenalan lagi, Nor Azam ingin melamarnya sebagai isteri, namun ketika itu dia baru berusia 22 tahun.

“Bakal suami saya kata, dia sudah berusia dan tidak mahu menangguhkan lagi perkahwinan kami. Dia ingin kami membina keluarga dengan segera dan berharap perkahwinannya kali ini berkekalan sehingga ke akhir hayatnya.

“Bagaimanapun, waktu itu saya berasakan diri ini terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri lalu saya minta tempoh dua tahun lagi. Selepas tamat tempoh dua tahun, saya minta tangguh setahun lagi dan baru sekarang saya bersedia menerima lamarannya.

“Keluarganya datang merisik pada Ogos lalu. Pun begitu kami tidak bertunang, majlis pertunangan itu nanti akan diadakan pada hari sama pernikahan akan berlangsung,” katanya.

Wednesday, December 8, 2010

Tomok buru trofi AJL25



SELEPAS mengejutkan ramai dengan kejayaannya menjadi juara program realiti TV, One in A Million musim ketiga (OIAM3), pada tahun 2009.

Umum melihat anak muda yang pernah berada dalam arus perdana muzik tempatan bersama kumpulan New Boyz itu akan terus memahat namanya ke kemuncak populariti dengan gaya dan genre lagu yang jauh menyimpang ketika bersama kumpulan itu sebelum ini.

Namun setahun sudah berlalu, jangkaan itu tidak menjadi realiti. Malah, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan nama glamornya, Tomok seolah-olah sepi tanpa sebarang pencapaian yang membanggakan.

Apakah kejayaannya merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta sebagai juara OIAM3 menyebabkan dia terleka, lalu dengan sewenang-wenangnya dia mulai menghilangkan diri dari persada seni?

Namun, segala persoalan itu terjawab pada sidang media di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena pelancaran album sulung solo Tomok.

Pasti ada yang menyangka, selepas dilahirkan semula oleh OIAM3, Tomok pasti enggan lagi dikenali sebagai Tomok, kerana nama itu cukup sinonim dengan vokalis New Boyz yang diklasifikasikan sebagai penyanyi lagu mendayu atau dalam bahasa slanganya ialah ‘penyanyi jiwang-jiwang’ atau ‘penyanyi tangkap leleh’.

Namun, album terbaru Tomok yang diberi judul Tomok itu segera menimbulkan persoalan, apa sudah jadi dengan penjenamaan semula Tomok?

Tenang berhadapan dengan pihak media, Tomok memberitahu, dia selama ini bukan menghilangkan diri tetapi banyak menyiapkan album solonya.

“Kalau ikutkan tempoh masa setahun memang lama selepas tamat OIAM3. Dalam tempoh masa itulah saya telah merancang tentang masa depan karier ini.

“Walaupun orang kata saya seolah-olah menghilangkan diri, tetapi saya turut mengeluarkan beberapa single yang ke udara di corong radio ketika itu,” ujarnya.

Monday, December 6, 2010

Pengasas SYJ meninggal

Kumpulan Rock Malaysia - foto hiasan



IPOH: “Jiwa ‘rock’ arwah tidak pernah luntur dan ketika menerima rawatan di hospital, dia masih sempat bertanya perkembangan semasa SYJ daripada ahli kumpulan itu yang selalu melawatnya.

“Namun, sepanjang mengenali arwah dan lebih 50 tahun perkahwinan kami, arwah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Biarpun sedih, saya reda menerima takdir ini dan jauh di sudut hati, gembira dapat bersama arwah hingga ke akhir hayat,” kata Maimun Syed Idrus, 73, isteri Syed Yusuf Jamalullail.

Syed Yusuf Jamalullail yang juga pengasas kumpulan rock SYJ, antara kumpulan rock ‘perintis’ tanah air yang pernah menggegarkan dunia muzik tempatan era 80-an dengan genre rock keras, meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi semalam di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, selepas lebih sebulan menerima rawatan di hospital berkenaan.

Allahyarham yang dimasukkan ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan motosikal, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi kecederaan dalaman kesan insiden itu yang diburukkan dengan penyakit kencing manis dan darah tinggi dihidapi sejak lebih 10 tahun lalu.

Arwah yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap berdekatan tempat tinggalnya di Kampung Manjoi, dekat sini, sebelum solat Zuhur semalam, meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan, Syarifah Noraini, 55, dan Siti Noorsiha, 53, serta tujuh cucu.

Anak lelaki tunggal arwah, Syed Noor Eduat, yang juga anggota SYJ, meninggal dunia pada 11 Oktober 2006 di HRPB akibat komplikasi paru-paru. Selain sanak saudara dan ahli keluarga, turut hadir pada majlis pengebumian arwah ialah ahli kumpulan SYJ, bekas anggota kumpulan itu dan anggota kumpulan Sofea.

Kumpulan SYJ diasaskan arwah pernah mencetuskan kontroversi dengan imej ‘Motley Crue’ dan ‘Kiss’ mereka. Mekap tebal dan muzik keras menjadi gimik SYJ.

Saturday, December 4, 2010

Dayang pulang dari luar negara..

DAYANG pulang ke tanah air selepas puas menimba pengalaman di luar negara.


LAMA sudah telinga peminat tidak didendangkan dengan kisah terbaru Dayang Noraini Awang Sahari yang menggunakan nama pentas Dayang Noraini.

Bukan bermakna anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu lenyap daripada lapangan seni bahkan kecintaannya pada bidang itu tidak sedikit pun surut.

Sepanjang tempoh ‘kehilangannya’ beberapa tahun lalu, Dayang Noraini sebenarnya mengalunkan vokalnya di Newcastle dan Sunderland, Britain selama dua tahun bermula 2003.

Membina tapak selepas menjuarai Pertandingan Sinaran Passport Kegemilangan musim keenam anjuran TV3 pada tahun 1998, Dayang Noraini sengaja memanjangkan langkahnya ke negara asing selepas dipelawa oleh seorang rakan yang sekarang bergelar suaminya, Roslee Wahid.

Sambil menjayakan undangan nyanyian di restoran jazz, pada waktu sama, ibu kepada tiga cahaya mata – Dayang Damia Heidi, 4, Ivan Mikael, 3, dan Dayang Damia Danielle, 2, sempat membikin sebuah single, Kelawar Oh Kelawar yang turut dirakamkan di Britain.

“Sebaik pulang ke tanah air pada 2006, saya senyap daripada publisiti. Ini kerana saya mahu menumpukan perhatian terhadap rumah tangga yang dibina pada tahun 2002. Tambahan pula kami kena memulakan kehidupan berkeluarga daripada awal.

“Idea album Kelawar Oh Kelawar sudah lama terlintas. Dengan hanya menambah beberapa lagu, saya berusaha mencari material secara perlahan-lahan.

“Alhamdulillah, album solo pertama saya di bawah terbitan dan edaran Dayang Noraini Production mula dipasarkan sejak awal Mac lalu,” jelas Dayang Noraini.

Apa yang berbeza tentang albumnya kali ini terserlah dari segi pemprosesan dan hasil kerja.

Daripada awal hinggalah ke titik terakhir, segala material serta rakaman dilakukan dengan kudrat dan biaya sendiri.

Album mengangkat judul Dayang Noraini itu berisi enam buah lagu iaitu Hipokrit, Sesayup, Kelawar Oh Kelawar, Kau Tak Akan Pernah Tahu, Di Ulang Tahun Mu dan Demi Dekat Pada Mu. Tiga berbunyi progresif rock manakala selebihnya balada.

Friday, December 3, 2010

Zaibo nikah kenalan lama

Siti Hawa mencium tangan Zaibo selepas majlis akad nikah, semalam.


BATU PAHAT:“Saya amat bersyukur kepada Allah walaupun dalam usia yang sudah lewat tetapi Dia memberi rezeki yang begitu bermakna. Saya reda dengan ketentuan-Nya terhadap perjalanan hidup ini kerana saya percaya, banyak hikmah di sebalik pernikahan ini,” kata pelakon berpengalaman, Zainal Ariffin Abdul Hamid (Zaibo).

Bertempat di Pejabat Kadi Batu Pahat, Zaibo, 54, diijabkabulkan dengan kenalan lamanya yang juga ibu tunggal, Siti Hawa Syawal, 45, oleh Kadi Daerah itu, As Sheikh Mustafa Omar, kira-kira jam 3 petang semalam.

Siti Hawa yang mempunyai sembilan anak menerima mas kahwin RM22.50. Majlis diadakan secara tertutup dan kecil-kecilan untuk keluarga rapat kedua-dua pihak saja.

Menurut Zaibo, dia dan isteri sepakat untuk mengadakan majlis yang ringkas secara tertutup kerana memandangkan usia masing-masing yang sudah meningkat dan Siti Hawa pula pernah berumahtangga.

“Mulanya kami hanya nak bernikah di pejabat kadi dan mengadakan kenduri doa selamat. Bagaimanapun perancangan itu bertukar apabila ramai pula ahli keluarga sebelah perempuan yang hadir. Saya agak tadi hampir 80 orang. Namun saya bersyukur kerana mereka datang meraikan kami,” katanya yang akan mengadakan majlis resepsi Januari nanti.

Pelakon teater terkenal itu mengenali Siti Hawa sejak 10 tahun lalu dan kembali rapat selepas tiga tahun kebelakangan ini. Namun mereka tidak pernah membincangkan soal hubungan yang serius, sebaliknya atas dasar persahabatan.
Kebetulan Siti Hawa adik kepada kenalan Zaibo.

Hati Zaibo terbuka untuk lebih serius ketika Ramadan lalu dan ini dinyatakan kepada Siti Hawa. Pun begitu, kesibukannya sebagai pelakon membuatkan hasrat itu ‘hilang’ sehinggalah dua minggu lalu, mereka masing-masing serius.

“Benar, saya mengambil keputusan cepat. Malah kenalan dan keluarga pun, saya hanya beritahu dua hari sebelum majlis pernikahan diadakan. Saya percaya dengan ketetapan Ilahi terhadap perjalanan saya dan isteri. Doakan kami bahagia,” katanya.

Antara rakan artis yang hadir Betty Benafe dan penulis skrip, Wahid Nasir.

Thursday, December 2, 2010

Hujan ligat bisnes



BIARPUN diangkat sebagai band indie nombor satu negara, Hujan tetap pemuzik yang sama, tidak seinci pun mereka berubah. Jiwa dan minat mereka masih terletak di landasan yang sama seperti dulu iaitu muzik.

Bermula dengan penubuhan Hujan pada Februari 2006 dan menghadapi pelbagai pahit getir, kini, Hujan yang dianggotai oleh Noh (vokal), Hang Dimas (keyboard) dan Izzat (bass) boleh menuai hasil daripada penat lelah mereka.

Wang bukan lagi masalah utama untuk mereka menggerakkan jentera Hujan. Bagaimanapun menurut Noh, istilah mewah yang diberi kepada mereka terlalu besar kerana hakikat sebenarnya Hujan bukan satu band yang mewah dengan wang ringgit, meskipun baru sahaja dilantik sebagai duta produk perbankan dalam talian untuk Bank Simpanan Nasional (BSN) selama setahun.

"Bersyukur nama kami semakin besar tetapi untuk kata kami mewah, rasanya belum lagi. Apa yang saya boleh katakan ialah kami kini lebih senang, tidaklah seperti dulu, banyak hal tergendala kerana kesempitan wang.

"Sebenarnya banyak wang kami dilaburkan untuk memajukan Hujan dan diri saya sendiri. Macam saya, banyak menghabiskan wang pada peralatan muzik, Dimas pula pada syarikat kami Morning Rocket dan Izzat pula seorang penyimpan wang yang tegar dalam Amanah Saham Berhad," ujar Noh tentang aliran wang Hujan.

Dimas yang boleh disifatkan pengurus dan pekerja pemasaran band Hujan mengangguk kepala tanda setuju dengan apa yang diluahkan Noh.

Saturday, November 27, 2010

Jimmy dan isteri ke mahkamah ??

JIMMY (kanan) dan Nursuhaila.


BARU sahaja beberapa minggu lalu, Diva terima khabar gembira tentang bekas pengacara Trek Selebriti yang terkenal dengan ucapan 'yezzaa'nya, siapa lagi kalau bukan Jimmy Shanley yang baru dapat berita bahawa isterinya, sudah berbadan dua.

Macam-macam juga berita si Jimmy yang masuk telinga Diva, belum habis dengan kisah rumah tangganya yang dikatakan bergolak. Isterinya Nursuhaila Shuhaimy pernah lari dari rumah, dua tiga hari lepas keluar pula cerita baru.

Kali ini lebih panas. Sama ada sahih atau tidak sahih, itu Diva tak berani komen, dah sumber yang rapat dengan kaki perisik di mahkamah sendiri yang khabarkan, Diva kongsilah pula kepada semua.

Kata sumber itu, masalah Jimmy dan Suhaila tak tamat lagi. Memanglah isteri Jimmy sedang mengandung tetapi dalam senyap-senyap, mereka sudah sampai ke mahkamah dan berjumpa pakar kaunseling di sana. Keluarga Shuhaila pula dah naik pening dan khabarnya mereka terbang bercuti ke luar negara.

Friday, November 26, 2010

Raja Farah, Megat diijab kabul



BUKIT JELUTONG: Pelakon dan peragawati, Raja Farah Raja Aziz selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Megat Bashirun Qhuyum Zakaria dengan sekali lafaz, di sini, semalam.

Raja Farah, 22, dan Megat Bashirun, 25, dinikahkan bapa pengantin perempuan Raja Aziz Raja Ngah sambil disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Rosly Mohd Arus dengan mas kahwin RM888 pada jam 11.10 pagi.

Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih tajaan dan rekaan Syahmir Nur Din pada majlis akad nikah yang dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, rakan artis dan kenalan.

Sebelum ini, timbul gosip mengenai kehidupan pelakon yang popular menerusi drama bersiri, Mertua VS Menantu yang disiarkan di Astro Prima. Majlis merisik pada 9 Oktober lalu di kediaman keluarga perempuan bertukar menjadi majlis pertunangan. Perkenalan pada awal tahun membuatkan pasangan ini membulatkan tekad untuk mengakhiri zaman solo masing-masing.

Menurut Raja Farah, dia bersyukur kerana majlis akad nikah yang dirancang berjalan lancar walaupun ada sesetengah pihak cuba membuat pelbagai spekulasi berhubung majlis berkenaan. Bagi dirinya, apa yang lebih penting dia mengambil keputusan berkahwin tanpa sebarang paksaan atau dipengaruhi mana-mana pihak.

“Insya-Allah saya melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri sebaik mungkin walaupun tidak bersedia 100 peratus. Saya akui masih banyak perkara perlu saya pelajari. Buat masa ini, saya banyak bertanya serta belajar daripada ibu dan ibu mentua.

“Memang kami sudah merancang untuk majlis bernikah pada hari ini (semalam). Walaupun berlangsung pada hari Jumaat dengan masa yang agak terhad saya bersyukur kerana apa yang dirancang berjalan lancar,” katanya.

Sikap memahami dan mengambil berat menjadi salah satu keistimewaan yang ada pada suami. Sementara cepat serasi dan berkongsi minat sama iaitu menyelam di dasar laut menjadi antara alasan Megat Bashirun menjadikan Raja Farah sebagai isteri.

Raja Farah memulakan kerjaya dalam bidang seni sekitar 2001. Gadis kelahiran Kuala Lumpur, anak ketiga daripada empat beradik. Dia mula bergiat aktif dalam iklan televisyen ketika berusia 13 tahun.

Thursday, November 25, 2010

Perkahwinan direstui bekas kekasih

AYU tidak pernah berniat untuk merahsiakan pertunangannya.


"APA yang ingin saya tegaskan, segala tuduhan yang dilemparkan terhadap saya itu semuanya tidak benar sama sekali.

"Saya bukannya punca terhadap masalah keretakan rumah tangga mereka seperti yang didakwa!"

Jika sekali dengar ucapan bernada tegas itu seperti dilontarkan daripada individu yang dituduh mengganggu rumah tangga orang lain, yang pada kebiasaannya dikatakan ada hubungan dengan salah seorang daripada pasangan suami isteri yang mengalami keretakan rumah tangga tersebut.

Namun, dalam kes pelakon jelita, Ayu Raudah yang melontarkan kenyataan itu kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran program-program Astro Warna di Cathay Cineplex, The Curve, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, ia ternyata agak unik.

Dia sebelum ini didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak - suami kepada aktres Rita Rudaini.

Sedangkan pada masa yang sama, Ayu ketika itu serius menjalinkan percintaan dengan adik kembar Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak.

Sebenarnya, Ayu bukan dituduh sebagai perampas suami Rita, tetapi gosip sebelum ini bertiup kencang mendakwa Ayu menjadi penyebar fitnah tentang rumah tangga Aidil dan Rita.

Malah, sebuah akhbar sebelum ini pernah melaporkan kenyataan yang agak 'menggegarkan' daripada Rita yang berbunyi: "Saya tidak pernah mengenalinya secara rapat. Saya hanya bertemunya hanya sekali, ketika Ayu (Raudah) menjadi pelakon tambahan dalam drama Rafflesia.

"Itupun bekas kekasihnya, Pekin yang memperkenalkannya. Saya tidak tahu apa yang menyebabkannya cemburu, sakit hati dan sanggup menyebarkan fitnah. Kalau pasal saya ada hubungan dengan bakal suaminya, Mohd Zaquan Adha, itu cerita lama."

Tidak mahu memanjangkan sengketa mulut antaranya dengan bakal kakak iparnya itu, Ayu enggan memberi sebarang komen mengenai Rita kerana bimbang akan disalah erti oleh pihak yang lain.

"Kalau boleh saya memang tidak mahu dan akan elak untuk memberi sebarang komen mengenainya. Saya tidak mahu apa yang dinyatakan nanti akan disalahertikan oleh pihak lain," ujarnya.

Pada majlis yang sama Ayu juga memberitahu, dia sah menjadi tunangan Zaquan pada 17 Oktober yang lalu.

Awas logo halal bukan milik restoran

SEORANG pekerja menutup logo halal yang tertera di papan tanda sebuah restoran selepas diarahkan Jakim dalam serbuan di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Sebuah restoran bukan Islam di Jalan Gasing di sini diserbu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam setelah mendapati logo halal pada papan tanda yang dipasang bukan milik restoran tersebut.

Restoran yang sentiasa mendapat sambutan ramai diserbu lapan penguat kuasa Bahagian Hub Halal Jakim dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri semalam.

"Serbuan dibuat setelah kami menerima aduan daripada orang ramai yang meragui status halal restoran tersebut..

"Bila ditanya kenapa letak logo halal pada papan tanda, mereka mengatakan logo tersebut adalah milik produk yang menaja papan tanda tersebut," kata Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd. Amri Abdullah.

Suami dakwa pelakon ingkar

Che Zambil (kanan) bersama Hafiz di Mahkamah Syariah, semalam.


KUALA LUMPUR: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Che Zambil Ahmad memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya yang juga pelakon drama bersiri Cinta Antara Benua, Asdayanti Daut di Mahkamah Syariah di sini, semalam.

Che Zambil, 36, yang juga bekas pemain pasukan Kedah mengemukakan permohonan itu selepas mendakwa Asdayanti, 36, enggan mematuhi permohonan perintah kembali taat yang difailkan pada 1 November lalu.

Dia hadir bersama peguam syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan di mahkamah pada jam 3.30 petang dan terus memasuki kaunter mahkamah untuk memfailkan permohonan berkenaan.

Hafiz ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Che Zambil dan isterinya sebelum ini pernah menjalani proses sulh (perbincangan) berhubung masalah rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu menemui jalan buntu kerana Asdayanti didakwa masih ingkar dan sering ke luar negara bersama lelaki lain.

Menurutnya, dalam permohonan semalam, Che Zambil selaku plaintif menamakan Asdayanti sebagai defendan mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kali pertama permohonan berkenaan.

Che Zambil mendirikan rumah tangga dengan pelakon berkenaan pada 21 April 1998 di Kubang Pasu, Kedah dan dikurniakan dua anak berusia setahun dan 11 tahun.

Ibu diperkosa demi anak..

( Foto hiasan )



KUALA LUMPUR: Demi menyelamatkan maruah anak perempuannya berusia 12 tahun, seorang ibu terpaksa mengharungi detik hitam apabila diperkosa di depan gadis sunti itu oleh seorang daripada dua penjenayah yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Melayu Subang, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, ibu muda itu yang diikat tangan sebelum itu diberi pilihan oleh penjenayah terbabit untuk menentukan siapa yang akan dirogol sama ada dia atau anak gadisnya.

Dalam keadaan terdesak, ibu berusia 34 tahun itu tiada pilihan melainkan membiarkan dirinya dirogol seorang daripada dua penyamun berusia lewat 20-an terbabit.

Menurut sumber polis, lebih menyayat hati ketika seorang daripada lelaki terbabit merogol mangsa, seorang lagi rakannya merakam perbuatan terkutuk itu menggunakan telefon bimbit.

“Sebelum itu, dua suspek terbabit yang memakai topeng memecah masuk rumah mangsa yang ketika itu tidur bersama anaknya dalam bilik utama manakala suaminya tiada di rumah kerana bekerja syif malam.

“Dua penjenayah terbabit mengikat dua beranak itu dan mengarahkan mereka mendiamkan diri sekiranya tidak mahu dicederakan,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek menggeledah rumah berkenaan sebelum mengambil wang tunai dan barang kemas yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM2,000.

“Sebaik selesai menggeledah rumah mangsa, seorang daripada suspek seolah-olah tidak puas hati dengan hasil rompakan mereka dan memberitahu mahu merogol seorang daripada dua beranak itu.

“Selepas rayuannya tidak diendahkan dan tidak mahu anaknya menjadi mangsa penjenayah itu, si ibu terpaksa merelakan dirinya dirogol seorang daripada suspek dan ketika dia dirogol seorang lagi suspek merakamnya menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua penjenayah melarikan diri dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Rumah terbang dipukul ribut

Abu Bakar menunjukkan rumahnya yang ranap dipukul ribut.


KANGAR: Seorang petani, Abu Bakar Ahmad, 40, hanya mampu melihat keseluruhan rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang merosakkan kira-kira 16 rumah di sekitar Tambun Tulang, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Abu Bakar dan keluarganya yang menetap di Kampung Kepala 20, bernasib baik kerana berada di rumah kakaknya di Kampung Kepala 10 kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

“Saya bergegas pulang dari rumah kakak ketika angin ribut dan terkejut apabila mendapati rumah sudah tiada...yang tinggal hanya pelapik tiang konkrit.

“Sebahagian bumbung diterbangkan angin kira-kira 50 meter jatuh ke dalam petak sawah manakala dinding rumah bertaburan di tanah.

“Ini musibah kedua melanda diri saya selepas kawasan rumah ditenggelami air dalam kejadian banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim, hadir melawat mangsa ribut itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali.

Abu Bakar berkata, dia bersama isteri serta dua anak berusia dua dan lima tahun menetap di rumah kayu yang dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM5,000 sejak dua tahun lalu.

“Keseluruhan rumah kayu ini rosak teruk, termasuk tiang dan alangnya patah. Ia sukar untuk diperbaiki dan memerlukan kos tinggi untuk membinanya semula. Saya kini terpaksa menumpang di rumah kakak,” katanya.

Ribut terbabit menyebabkan 16 rumah di beberapa kampung sekitar Tambun Tulang rosak dan semua mangsa berkenaan baru menghadapi banjir besar.

Berdasarkan maklumat, daripada 16 rumah yang terjejas, tujuh dilaporkan membabitkan kediaman sekitar kawasan Long Boh, termasuk Kampung Kepala 20, selain lima di Kampung Baru, tiga di Tambun Tulang dan satu di Sungai Bakung.

Seorang mangsa, Rosnah Hamid, 47, ketika ditemui mengaku kehidupannya terjejas akibat kejadian ribut petang kelmarin apatah lagi kesan kerugian dan kerosakan akibat banjir besar baru-baru ini, masih belum pulih.

“Baru-baru ini, banyak barang terutama peralatan dalam rumah rosak selepas kediaman kami dinaiki air sehingga paras pinggang. Kini, belum selesai masalah itu, datang pula ribut memusnahkan bumbung dan dinding rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, pihaknya menerusi Yayasan Pok dan Kassim (YPK) akan menyalurkan bantuan segera membina semula rumah untuk Abu Bakar yang musnah dalam kejadian ribut terbabit.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2