NUFFNANG ADS

Tuesday, December 28, 2010

Syazwani paling konsisten

BERJAYA bergelar juara Kamilah Bintang, Syazwani ingin meneruskan usahanya bagi menggapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor pula.


ACARA kemuncak Kamilah Bintang yang berlangsung di Studio Finas, Hulu Kelang, Selangor minggu lalu telah menyaksikan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku, Petaling Jaya, Syazwani Sapari dinobatkan sebagai juara dengan menewaskan lima peserta yang lain.

Menyanyikan lagu berjudul Bertamu Di Kalbu nyanyian asal Jaclyn Victor pada acara kemuncak, ternyata Syazwani telah dapat membawakan lagu berkenaan dengan baik. Lebih menarik lagi, nyanyian Syazwani itu juga turut melahirkan rasa kagum buat penyanyi asal lagu berkenaan yang turut diundang khas.

Ketika ditanya tentang kemenangan yang diraih itu, Syazwani menjelaskan dia sendiri tidak menyangka untuk muncul sebagai pemenang. Ujarnya, persembahan kelima-lima peserta yang lain juga sangat bagus menyebabkan persaingan menjadi lebih sengit.

"Pada mulanya saya memang tidak yakin untuk menang. Namun saya bertekad untuk membuat persembahan yang terbaik dan berpuas hati dengan persembahan pada acara akhir ini biarpun ada peserta lain membuat persembahan yang lebih baik.

"Dengan kemenangan ini juga, saya berharap akan dapat lebih banyak peluang untuk menyanyi selepas ini. Namun saya akan tetap mengutamakan pelajaran demi untuk mengejar cita-cita sebagai doktor," ujarnya ketika ditemui selepas berakhir pertandingan tersebut.

Kemenangan yang diraih oleh Syazwani itu sebenarnya turut dibantu dengan persembahan konsisten peserta berkenaan pada setiap minggu. Malah, dia juga muncul sebagai juara untuk minggu kelima dan sering berada di kedudukan kedua pada minggu-minggu sebelumnya serta menjadi peserta pilihan untuk menang.

Sementara, jumlah keseluruhan markah yang telah dikumpul oleh Syazwani pula adalah 46.5 dan perbezaan 0.4 markah untuk mengatasi peserta yang muncul naib juara. Dengan kemenangan itu, Syazwani telah berjaya meraih hadiah berupa biasiswa pendidikan sebanyak RM15,000, pakej percutian ke Taman Tema Gold Coast, Australia, komputer riba, iPod shuffle dan dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas.

Kamilah Bintang merupakan sebuah pertandingan rancangan realiti TV yang mencungkil bakat nyanyian kanak-kanak dalam bidang nyanyian. Ia turut menampilkan konsep baru bagi rancangan realiti TV apabila tiada penyingkiran di kalangan pesertanya.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2